Percakaran Pemuda Umno-DAPSY umpama anak kecil, Kerajaan Perpaduan tak akan berpecah – Amanah

KUALA LUMPUR – Hubungan antara sayap Pemuda Umno dan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) yang sebelum ini dilihat tegang susulan isu Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik tidak menjejaskan kerjasama parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah) Faiz Fadzil berkata, perkara itu hanyalah isu kecil yang tidak wajar diperbesarkan sehingga menimbulkan keraguan terhadap kestabilan politik.

“Perpaduan ini ibarat sebuah perkahwinan yang masih baharu, manakala pergerakan pemuda boleh diumpamakan sebagai anak-anak kecil. Biasalah, mereka bercakaran sekali-sekala tetapi itu bukan pergaduhan besar, sebaliknya lumrah yang tidak menjejaskan keluarga,” katanya selepas menghadiri Program Rahmah Mesra Madani bersama nelayan Pulau Pinang, lapor Utusan di George Town pada Isnin.

Sebelum ini, DAPSY Pulau Pinang menggesa DAP dan DAPSY Kebangsaan memutuskan kerjasama politik dengan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, susulan kenyataan beliau yang dianggap bersifat provokasi.

Namun, Faiz yang juga Pengerusi Amanah Pulau Pinang menegaskan, isu berkenaan telah selesai dan hubungan pemuda parti-parti Kerajaan Perpaduan kini berada pada landasan lebih kukuh.

Katanya, gabungan pemuda daripada Umno, PKR, DAP dan Amanah merupakan kekuatan besar yang menggabungkan pengalaman parti lama dengan semangat reformis yang dibawa Pakatan Harapan (PH).

“Ini sebenarnya formula terbaik, bila parti lama yang berpengalaman bergabung dengan parti reformis. Gabungan ini mampu mengatur strategi serta hala tuju ekonomi negara dengan lebih baik kerana ia menggabungkan dua kekuatan besar,” katanya.

Sementara itu beliau turut berkongsi suasana Konvensyen Pemuda Amanah Pulau Pinang semalam apabila wakil Pemuda Umno, Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan DAPSY duduk semeja sambil bersama-sama menyanyikan lagu Jalur Gemilang dengan penuh semangat.

“Ini hal keluarga, ibarat anak-beranak. Tidak perlu risau, kami tidak akan berpecah. Pemuda kadang-kadang berbeza pandangan, tetapi itu bukan isu besar. Yang penting, jangan biarkan Perikatan Nasional (PN) menguasai politik negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Jalur Gemilang perlu dihormati oleh semua pihak tanpa mengira fahaman politik dan sebarang kesalahan berkaitan bendera negara mesti disiasat pihak berkuasa secara telus.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat