KUALA LUMPUR – Lagak wira yang ditonjolkan Ketua Pemuda Umno Datuk Dr Akmal Saleh hanya melahirkan reaksi balas rasa marah, takut, dan terhina daripada kalangan bukan Melayu bahkan ia tidak memberi apa-apa faedah kepada kedua-dua pihak.
Pengarah Strategik DAP Liew Chin Tong berkata dalam pertikaian tentang Jalur Gemilang, Ketua Pemuda Umno itu menonjolkan dirinya sebagai “jaguh” kepada pengikut-pengikut setianya serta mereka yang terperangkap dalam politik kaum.
“(Manakala) Orang yang dicabarnya dituduh sebagai “penentang” yang tidak setia kepada negara.
“Masalahnya, lagak wira seperti ini hanya melahirkan reaksi balas rasa marah, takut, dan terhina daripada kalangan bukan-Melayu. Ia tidak memberi apa-apa faedah kepada kedua-dua pihak,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam keadaan seperti ini Chin Tong berkata, setiap pihak akan bangkit untuk “mempertahankan” kumpulan masing-masing daripada “serangan” pihak lawan.
“Bagi kumpulan Melayu, mereka menganggapnya sebagai mempertahankan kedaulatan kaum manakala golongan bukan-Melayu melihatnya sebagai mempertahankan diri daripada dibuli, dan juga menyedari wujudnya hegemoni.
“Di pihak Melayu sudah ada seruan supaya tidak bekerjasama dengan DAP. Di pihak bukan-Melayu, ada suara-suara yang mahu memutuskan hubungan dengan Umno. Malah, ada juga yang terlalu emosi sehingga membuat seruan agar tidak perlu memasang langsung bendera Malaysia.
“Saya menyokong kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang mencadangkan agar dipasang Jalur Gemilang bersaiz besar di kedai perkakas logam yang mahu di“lawat” oleh Akmal dan pengikut setianya.
“Adalah penting untuk kita mengumpulkan rakyat Malaysia pelbagai kaum untuk berdiri bersama Jalur Gemilang sebagai simbol kebangsaan kita bagi mengelakkan ia daripada merebak menjadi perang budaya Melayu melawan bukan-Melayu.
“Perang” ini yang tiada pemenangnya jika berpanjangan hanya akan menjadi seperti menang jadi arang, kalah jadi abu,” kata Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu.
Timbalan Menteri MITI itu menambah, sudah tidak ada titik pertengahan yang kukuh di Malaysia sepanjang hampir dua dekad.
Jadi katanya, apabila api perang budaya membakar, tiada siapa berani ke tengah untuk bersuara bagi warga majoriti jalan tengah, atau bercakap bagi pihak “nasionalisme Malaysia”. Jalan tengah akan teruk tertekan jika titik tengah tidak dapat bertahan lagi.
“Kerajaan Perpaduan sebagai satu entiti sebenarnya merupakan peluang untuk kita membina titik tengah yang kukuh serta tatanan politik baharu yang berteraskan nasionalisme Malaysia.
“Ini bermakna jalan tengah bukan sahaja perlu dipertahankan tetapi juga diperluaskan bagi memastikan kumpulan-kumpulan kecil ekstrem tidak dapat menguasai minda dan jiwa majoriti rakyat.
“Saranan Perdana Menteri sewaktu berucap kepada penjawat awam baru-baru ini merupakan satu peringatan baik untuk kita semua, iaitu perlu ada usaha serius untuk meneguhkan jalan tengah.
“Perlu diingatkan bahawa jalan tengah yang teguh perlu “authoritative” atau tegas dan berwibawa, dan bukannya bersifat “authoritarian” (kuku besi). Nasionalisme Malaysia perlu seiring jalan dengan demokrasi yang kukuh serta undang-undang dan peraturan yang diterima semua, di samping mampu mengetepikan perang budaya dan menolak jaguh kaum/budaya,” ujar Chin Tong.
Sebenarnya ujar beliau, apa yang berlaku di Malaysia sepanjang dua dekad lalu tidaklah terlalu unik untuk kita.
“Sekarang adalah era di mana Presiden Donald Trump lebih terkenal sebagai jaguh perang budaya manakala tidak mustahil untuk pemimpin sayap kanan populis Nigel Farage menjadi Perdana Menteri Britain pada pilihan raya negara itu nanti. Banyak masyarakat seragam di dunia kini sudah menjadi pelbagai kaum dan pelbagai budaya, dan memerlukan politik akomodasi.
“Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai peluang untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia mampu mewujudkan demokrasi yang berfungsi dalam masyarakat pelbagai kaum yang bersepadu.
“Menjadi tanggungjawab bersama kita untuk mengukuhkan serta mengekalkan jalan tengah kita nasionalisme Malaysia,” kata Chin Tong.



