KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kepimpinan Pemuda parti itu dan juga sayap Pemuda DAP agar berhenti bertelagah demi menjaga keharmonian dalam kerajaan perpaduan.
Menurut beliau, keputusan yang dibuat di peringkat pucuk pimpinan tertinggi parti perlu dihormati semua pihak dan tidak dijadikan polemik untuk meraih populariti politik.
“Kita telah membuat keputusan di peringkat kepimpinan tertinggi. Jangan kerana mahu mempopularkan sesuatu isu atau untuk dilihat paling popular, akhirnya menjejaskan hubungan baik antara parti, apatah lagi di peringkat akar umbi,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut menegur Pemuda DAP agar tidak membuat desakan politik yang boleh menggugat kesatuan parti dalam kerajaan.
“Kita tidak mahu kerana ada satu peristiwa, keputusan politik dibuat sehingga menggoyahkan kesatuan dalam 18 parti yang membentuk kerajaan Madani,” katanya.
Zahid juga menegaskan bahawa tindakan politik tidak sepatutnya dicampur aduk dengan tindakan undang-undang.
Sebelum ini, Pemuda DAP Pulau Pinang mendesak agar parti itu memutuskan hubungan dengan Akmal, gesaan yang kemudian disokong sayap Pemuda negeri lain.
Mengulas perkembangan itu, Akmal menegaskan pendiriannya tidak berubah.
“Cinta saya kepada agama, bangsa, dan negara tidak ternilai. Jika itu yang diperkatakan, saya tiada apa lagi yang hendak diperkatakan,” katanya.
Baca juga
AMK Terengganu didakwa pilih bulu , buat pekak isu bendera terbalik – Pemuda Umno Terengganu
Tolak Politik Kebencian, Gesa Putus Kerjasama Dengan Akmal Saleh – DAPSY Negeri Sembilan



