Pahang Jadi Tuan Rumah Kedua GDPM Fest 2025, Fokus Perkasa Teknologi PMKS Sektor Kesihatan

KUANTAN, – Pahang muncul sebagai negeri kedua selepas Johor yang menganjurkan Geran Digital PMKS MADANI (GDPM) Fest 2025 dalam usaha memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor kesihatan supaya lebih bersedia menghadapi cabaran teknologi masa depan.

Program yang berlangsung di Swiss-BelHotel, Kuantan hari ini menjadi bukti komitmen kerajaan untuk memastikan PMKS, khususnya dalam sektor kesihatan di seluruh negara, tidak tercicir daripada kemajuan digital serta transformasi sektor penjagaan kesihatan.

Majlis perasmian festival berkenaan disempurnakan oleh Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, YB Dato’ Ir. Razali Kassim, dan turut dihadiri pegawai kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta rakan strategik seperti Kementerian Kewangan Malaysia, Bank Simpanan Nasional, Persatuan Perubatan Malaysia, Persatuan Farmasi Malaysia dan penyedia teknologi kesihatan masa hadapan.

Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program itu termasuk demonstrasi penyelesaian teknologi masa hadapan, sesi perkongsian mengenai bantuan transformasi penjagaan kesihatan, pengalaman realiti maya (VR) serta pameran kepentingan penggunaan teknologi dalam memperkukuh penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Menurut MCMC, penganjuran GDPM Fest 2025 di peringkat negeri ini bertujuan membawa inisiatif digital terus kepada komuniti akar umbi, terutamanya usahawan dan pengamal kesihatan tempatan, selaras dengan pendekatan MADANI dan prinsip inklusiviti.

MCMC juga menjalin kerjasama bersama Kementerian Kesihatan Malaysia untuk meningkatkan kesedaran mengenai Garis Panduan Perkhidmatan Penjagaan Kesihatan Dalam Talian (Guideline on Online Healthcare Services – OHS) bagi memastikan penggunaan platform kesihatan digital secara selamat, bertanggungjawab dan beretika.

MCMC menyatakan harapan agar program ini dapat menyokong hasrat negara ke arah ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih pintar, cekap dan inklusif demi kesejahteraan komuniti pakar perubatan, PMKS dan rakyat keseluruhannya.

Selepas penganjuran di Johor dan Pahang, GDPM Fest 2025 akan diteruskan di Kota Kinabalu, Sabah pada 24 Ogos ini, menjadikannya destinasi berikutnya dalam siri jelajah digital PMKS MADANI peringkat kebangsaan.

author avatar
Azie Saharuddin
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat