CYBERJAYA – DAPSY Negeri Sembilan menegaskan bahawa tindakan Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh, yang mempolitikkan isu Jalur Gemilang adalah keterlaluan serta jelas membawa mesej politik kebencian.
Menurut kenyataan itu, tindakan Akmal memberi gambaran seolah-olah kaum bukan Melayu tidak patriotik, sedangkan semangat cinta negara seharusnya merentasi kaum dan agama.
Lebih malang, kata mereka, tindakan keras hanya ditujukan kepada peniaga kecil, manakala kesalahan serupa yang melibatkan Pemuda UMNO, sekutu mereka atau PAS tidak pernah dikenakan tekanan serupa.
“Politik kebencian ini bukan sahaja menimbulkan keresahan awam, malah menanam ketakutan rakyat untuk mengibarkan bendera negara sendiri. Inilah akibat apabila patriotisme dipersempitkan dengan lensa politik sempit,” kata kenyataan itu.
DAPSY Negeri Sembilan turut menyifatkan tindakan Akmal sebagai cabaran terhadap kedaulatan undang-undang dan ketenteraman awam, sehingga menyebabkan peniaga di kawasan terlibat terpaksa menutup premis lebih awal kerana kegusaran.
Sehubungan itu, DAPSY Negeri Sembilan menggesa kepimpinan DAP dan DAPSY Kebangsaan supaya mengambil pendirian jelas dengan memutuskan hubungan politik dengan Akmal Saleh demi memastikan konsistensi menolak politik kebencian.
DAPSY turut menyokong kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, bahawa tindakan tegas mesti diambil bagi menghentikan budaya buli, hasutan, serta penghinaan berasaskan kaum dan agama yang merendahkan maruah rakyat Malaysia.
baca juga
Akmal dilabel Ketua Pemuda Umno terpaling PN, serang pekedai kecil demi publisiti maksimum – DAPSY
Bring it on” – Akmal sambut gesaan Pemuda DAP P. Pinang Putus Hubungan Politik
Anthony Loke arah DAPSY seluruh negara lapor polis himpunan Pemuda Umno di kedai perkakas



