KUALA LUMPUR, — Penyerang Liverpool, Mohamed Salah, mempersoalkan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) kerana tidak menjelaskan punca kematian bekas bintang bola sepak Palestin, Suleiman Al-Obeid, dalam kenyataan takziah badan itu.
Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) sebelum ini memaklumkan bahawa Al-Obeid, 41, maut akibat serangan Israel di Gaza. Namun, dalam hantaran di platform X, UEFA hanya menyatakan beliau sebagai “bakat yang memberi harapan kepada ramai kanak-kanak, walaupun di saat paling sukar,” tanpa menyebut bagaimana beliau meninggal dunia.
Salah, 33, yang mempunyai lebih 19 juta pengikut di X, membalas hantaran UEFA dengan menulis: “Bolehkah anda beritahu bagaimana beliau meninggal dunia, di mana, dan mengapa?”
Kenyataan Salah mendapat pujian, termasuk daripada bekas pemimpin Parti Buruh Britain, Jeremy Corbyn, yang membalas: “Well said Mo!”
PFA turut memaklumkan bahawa Al-Obeid, yang digelar “Pele Palestin”, pernah membuat 24 penampilan bersama skuad kebangsaan, menjaringkan dua gol. Beliau meninggalkan seorang isteri, dua anak lelaki dan tiga anak perempuan.
Salah sebelum ini lantang bersuara mengenai konflik di Gaza. Dalam video di Instagram pada Oktober 2023, beliau menggesa agar pembunuhan dihentikan dan bantuan kemanusiaan dibenarkan masuk, dengan menegaskan bahawa “semua nyawa adalah suci dan mesti dilindungi.”
Tentera Pertahanan Israel (IDF) setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas terhadap laporan kematian Al-Obeid. – Suara.TV/The Herald Scotland



