KUALA LUMPUR – Datuk Seri Rafizi Ramli mengingatkan Pemuda Umno supaya berpada-pada ketika memainkan sesuatu isu dan meletakkan ilmu dan wawasan membaiki masyarakat.
Kata wakil rakil rakyat PKR itu, dulu ada satu zaman Pemuda Umno gah menghunus keris semasa perhimpunan, justeru yang keris itulah yang jadi ingatan orang hingga menjadi salah satu sebab Umno ditolak sebahagian pengundi.
“Bendera buat kecoh lagi! Bendera tak salah, yang salah manusia yang lebih-lebih.
“Bendera terbalik ni ada banyak kemungkinan. Salah satu ialah benar-benar silap, tak banyak orang berani dengan sengaja pasang bendera terbalik sebab takut dengan Ketua Pemuda Umno. Habis satu gerombolan dia bawa tunjuk perasaan nanti.
“Sebab itu, bagi setiap kejadian yang dilaporkan, biarlah siasatan dibuat dan pihak berkuasa tentukan: adakah sengaja atau tersilap. Kalau dipercayai sengaja, ada peruntukan untuk didakwa, boleh dakwa dan biar mahkamah putuskan tertuduh itu benar-benar sengaja atau tersilap.
“Kalau siasatan dari awal menunjukkan ia satu kesilapan yang tidak disengajakan, tidak payahlah buat jadi isu,” tegur Ahli Parlimen Pandan itu.
Rafizi berkata tindakan ‘keras’ seumpama itu membuatkan rakyat terutama bukan Melayu enggan lagi memasang bendera kerana takut jadi sasaran Pemuda Umno.
“Sebab kalau saya rakyat, terutamanya orang bukan Melayu, saya susah payah nak pasang bendera sebab itu cara saya nak zahirkan kecintaan kepada negara, kalau selalu jadi sasaran Pemuda Umno, lepas ni baik tak pasang langsung bendera.
“Kepada ahli politik yang muda-muda, nilai kita terletak kepada ilmu dan wawasan membaiki masyarakat yang kita bawa.
“Masa muda ni mungkin boleh buat nama dengan stokin, bendera, lepas ni kasut, selipar dan topi. Bila sudah berumur, orang akan gelak dekat kita sebagai ahli politik stokin, bendera, kasut, selipar dan topi!
“Jadi berpada-padalah! nasihat beliau.



