KUALA LUMPUR – Pemilik kedai perkakasan di Kepala Batas di Pulau Pinang yang ditahan polis malam Sabtu lalu selepas disyaki mengibar bendera Jalur Gemilang secara terbalik telah dibebaskan dengan jaminan polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Anuar Abd Rahman berkata, pemilik kedai berusia 59 tahun itu dibebaskan kira-kira 3 petang semalam selepas selesai memberi keterangan kepada pihak polis berhubung insiden berkenaan.
“Polis telah merekodkan keterangan lebih 10 individu berhubung kes ini. Pemilik kedai tersebut juga telah dibebaskan dengan jaminan polis petang semalam,” lapor Utusan di George Town pada Isnin.
Semalam, polis memaklumkan pemilik kedai berusia 59 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan.
Penahanan dibuat selepas pihak polis menerima 16 laporan berhubung insiden yang mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat.
Sebanyak 12 laporan dibuat di Pulau Pinang manakala empat lagi laporan polis adalah dari luar kontinjen Pulau Pinang.
Kes disiasat di bawah Seksyen 5, Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963, serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988.
Kelmarin, tular rakaman video berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang pada sebatang besi dalam keadaan terbalik tular di platform media sosial. Dalam video tersebut, seorang lagi individu dirakam sedang merakam aksi berkenaan.
Mengulas lanjut, Anuar berkata, kertas siasatan insiden tular pekerja perkakasan mengibar bendera secara terbalik sudah diserahkan kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini.
“Kertas siasatan diserahkan kepada TPR hari ini untuk tindakan selanjutnya, jadi kita tunggu keputusan daripada TPR untuk pendakwaan,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat pihak yang mahu mengadakan demonstrasi berkaitan isu itu, Anuar mengesahkan polis menerima maklumat berkenaan.
“Kami telah mengambil langkah untuk menasihati mereka agar tidak meneruskan tindakan tersebut. Ia dilakukan bagi mengelakkan sebarang masalah ketenteraman awam di kawasan terlibat,” katanya.



