KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu mahu semua industri makanan negara termasuk industri khinzir dibangunkan secara mampan, moden dan selamat.
Justeru katanya, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited untuk mengembalikan semula kestabilan sektor ini melalui beberapa langkah antaranya memudah cara eksport khinzir hidup dari Sarawak ke Semenanjung untuk pastikan bekalan tidak terputus.
“Pagi tadi, Bang Mat mengambil maklum dan menjawab usul yang dibawa oleh YB Kota Melaka dalam Kamar Khas di Parlimen berhubung krisis industri penternakan khinzir di Malaysia.
“Industri ini penting kepada keperluan masyarakat bukan Islam dan sektor pemprosesan makanan. Namun, sektor ini telah terjejas teruk akibat serangan penyakit African Swine Fever (ASF), yang turut menjejaskan pengeluaran dalam negara dan meningkatkan kebergantungan kepada import.
“Untuk mengembalikan semula kestabilan sektor ini melalui beberapa langkah iaitu – galakan kepada kaedah penternakan moden (Modern Pig Farming) dengan penekanan terhadap biosekuriti yang tinggi; pembangunan PFA (Pig Farming Area) di Tongod, Sabah, dijangka siap penghujung RMK12,” katanya.
Selain itu Mat Sabu mencadangkan penambahan pusat penyembelihan secara berperingkat bagi memenuhi keperluan industri.
“Juga R&D berterusan untuk tangani ASF termasuk kajian genetik virus melalui Whole Genome Sequencing.
“Libat urus berterusan bersama penternak, pengimport dan pihak industri.
“Bang Mat juga nak pesan, mana-mana penternak khinzir di Melaka yang berminat nak bangunkan penternakan moden, mohon segera hantar permohonan lengkap. Jangan tunggu lama-lama,” saran beliau.
Tambah belaiu, kementerian akan terus bantu, asalkan ikut saluran yang betul. Kita mahu semua industri makanan negara termasuk industri khinzir dibangunkan secara mampan, moden dan selamat.
“Bang Mat yakin, dengan kerjasama semua pihak, industri ini boleh dipulihkan, dan keterjaminan makanan negara akan terus terpelihara,” katanya.



