KUALA LUMPUR- Ketiadaan menteri berbangsa India dalam Kabinet di bawah kepemimpinan kerajaan Madani kini tidak menjadi sebarang masalah selagi kaum itu tidak dipinggirkan.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri R Ramanan, berkata sebelum ini negara pernah mempunyai sehingga empat menteri berbangsa India, namun pelaksanaan dasar dan program tidak memberi kesan menyeluruh kepada masyarakat terbabit.
“Bagi saya senang. Sebelum ini kita ada banyak Menteri… saya ingat kalau tak silap, ada satu hingga empat Menteri (berbangsa) India.
“Tapi apa keberkesanannya? Yang penting, kita tidak dipinggirkan oleh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra dan Penyerahan Surat Tawaran kepada syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP), lapor BH pada Khamis.
Tambah Ramanan, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) juga tidak pernah meminggirkan mana-mana kaum dalam negara ini kerana prinsip yang dipegang adalah jelas dan tiada sesiapa akan tertinggal.
“Moto Perdana Menteri jelas, tiada sesiapa yang akan tertinggal. Itu kita boleh lihat daripada program-program yang kita buat. Semua itu bukannya kita buat sendiri dan luluskan sesuka hati.
“Timbalan Menteri, Menteri pun kena bawa kepada Perdana Menteri untuk dapat kelulusan, dan beliau luluskan.
“Kita perlu berterima kasih kerana kita ada seorang Perdana Menteri berjiwa besar, prihatin dan sayang kepada semua rakyatnya,” katanya yang juga Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sebelum ini, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan, dalam satu temu bual bersama sebuah akhbar mendakwa parti itu seolah-olah dipinggirkan selepas Barisan Nasional (BN) berjaya menyertai kerajaan Persekutuan.
Perkara berkenaan dikatakan terjadi sejak pilihan raya umum yang lalu sehingga kini dan MIC juga tidak menerima sebarang lantikan menteri atau timbalan menteri daripada kerajaan.
Keadaan itu menyebabkan MIC yang mewakili masyarakat India mengkaji semula peranan tempat dan haluan parti termasuk kemungkinan untuk bekerjasama dengan parti lain terutamanya Perikatan Nasional (PN) pada masa akan datang.



