CYBERJAYA,– Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai agar menghentikan penyebaran maklumat tidak sahih berkaitan Allahyarham Zara Qairina Mahathir, selaras dengan gesaan Ketua Polis Negara dan Jabatan Peguam Negara.
Dalam satu kenyataan hari ini, MCMC menegaskan bahawa penyebaran gambar, video atau apa-apa maklumat yang belum disahkan bukan sahaja boleh mengguris perasaan keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika serta berpotensi melanggar undang-undang.
“MCMC memandang serius tindakan segelintir pihak yang masih berkongsi kandungan tidak sahih di media sosial, dan mengingatkan bahawa penyebaran maklumat palsu merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” menurut kenyataan itu.
Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda maksimum RM500,000, atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya sekali.
MCMC turut mengulangi peringatan Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil agar semua pihak menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan oleh pihak berkuasa dan mengelak daripada membuat spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
“Marilah kita sama-sama menghormati privasi keluarga Allahyarham serta memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menyempurnakan siasatan dengan telus dan adil,” tambah kenyataan itu.



