KUALA LUMPUR, – Pertubuhan Peduli Masyarakat (PEDULI MASYARAKAT) menyatakan sokongan terhadap langkah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sedang meneliti untuk menggubal atau meminda undang-undang bagi menangani penularan dadah sintetik, khususnya yang dijual melalui platform dalam talian.
Penolong Setiausahanya, Aniq Danish Isyraf Abu Hassan berkata, usaha Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu amat bertepatan dengan cabaran semasa dan perlu diberi keutamaan oleh kerajaan.
“Kami berharap satu undang-undang yang tegas dapat digubal dan dikuatkuasakan segera, kerana kebanyakan dadah sintetik memberi kesan lebih buruk kepada pengguna berbanding dadah tradisional,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau memberi contoh beberapa negara seperti Amerika Syarikat, China dan negara-negara Eropah yang telah mewujudkan perundangan khusus bagi dadah berbahaya seperti Fentanyl dan Netazene yang juga dikenali sebagai “dadah zombi”.
Menurut Aniq Danish, meskipun penularan dadah zombi di Malaysia belum berada pada tahap kritikal, langkah pencegahan harus bermula dari sekarang memandangkan dadah sintetik kini mudah diperoleh melalui media sosial dan platform digital, sekali gus menyasarkan golongan muda secara halus tanpa mereka menyedari risikonya.
“Dadah sintetik bukan sahaja mengancam kesihatan individu, tetapi juga masa depan negara yang bakal diwarisi oleh generasi muda,” ujarnya.
Tambah beliau, usaha memperkukuh perundangan berkaitan dadah bukan hanya langkah pencegahan, malah satu bentuk perlindungan kepada masyarakat.
“Saya amat menghargai inisiatif Menteri Dalam Negeri untuk memperkenalkan undang-undang lebih kukuh. Sebagai rakyat, kita perlu menyokong langkah ini demi keselamatan dan kesejahteraan negara,” katanya lagi.
Semalam, Menteri Dalam Negeri memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengkaji pendekatan baharu untuk membanteras penularan dadah sintetik melalui dalam talian.
Menurut data Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), dadah sintetik seperti syabu, pil kuda dan ketamin menyumbang hampir 80 peratus daripada jumlah tangkapan berkaitan dadah pada tahun 2024, mencerminkan peningkatan ketara dalam lima tahun kebelakangan ini.-SuaraTV



