Pemuda BN anggap Pemuda Sosialis DAP bebal dan amalkan politik sempit

KUALA LUMPUR, – Pemuda Barisan Nasional (BN) hari ini mengecam tindakan DAP Socialist Youth (DAPSY) yang didakwa terus-menerus menyerang Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh dalam isu yang langsung tidak melibatkan sentimen politik kepartian.

Setiausaha Pemuda BN, Hafiz Ariffin menyifatkan tindakan DAPSY sebagai tidak bertanggungjawab dan membuktikan wujudnya agenda politik sempit serta kebebalan dalam memahami konteks sebenar sesuatu isu.

“Dalam isu pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, teguran Dr. Akmal dibuat atas semangat patriotisme dan tanggungjawab nasional. Beliau tidak menyentuh mana-mana parti politik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, tegas Hafiz, DAPSY dilihat terus memilih untuk mengalihkan perhatian daripada kecuaian sebenar dengan menyasarkan serangan kepada Dr. Akmal.

Beliau turut mengaitkan tindakan serupa oleh DAPSY dalam beberapa insiden terdahulu, termasuk isu penjualan label “daging ham” di sebuah premis berdekatan Universiti Malaya.

“Teguran Dr. Akmal ketika itu ditujukan kepada pihak KK Mart dan agensi berkaitan, namun DAPSY tetap memilih untuk menyerang beliau. Begitu juga dalam isu bendera terbalik, reaksi mereka tetap sama,” katanya lagi.

Hafiz turut mempersoalkan motif sebenar DAPSY yang dilihat sering tampil membela kecuaian yang berlaku dalam kalangan masyarakat Tionghua tetapi memilih untuk menyerang Akmal.

“Adakah ini agenda tersembunyi untuk melemahkan Ketua Pemuda UMNO yang merupakan rakan dalam Kerajaan Perpaduan? Atau wujud dendam politik terhadap beliau?” soalnya.

Beliau menegaskan bahawa DAPSY perlu memperbetulkan sikap dan belajar membezakan antara isu kenegaraan dan kepartian.

“DAPSY perlu berhenti menyerang secara membuta tuli dan belajar menilai sesuatu isu berdasarkan konteks, bukan emosi atau dendam politik peribadi,” tambah beliau.

Dr. Akmal Saleh sebelum ini lantang menegur beberapa insiden yang menyentuh sentimen nasional termasuk isu bendera terbalik dan sensitiviti makanan, namun beberapa pihak dalam DAP dilihat tidak senang dengan pendekatan tersebut.-SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat