“Hentikan Pencerobohan Tanah atau Tinggalkan Pahang” – Titah Sultan Abdullah

KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah baginda akan terus bersuara lantang terhadap isu pencerobohan tanah di negeri ini selagi kegiatan haram itu belum dihentikan sepenuhnya.

Baginda bertitah demikian dalam temu bual khas sempena Hari Keputeraan ke-66 bersama Bernama di Istana Abdulaziz baru-baru ini, sambil menegaskan bahawa usaha membanteras pencerobohan memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk rakyat dan jabatan berkaitan.

“Saya akan bersuara apabila ada pencerobohan bukan sahaja di Raub dan Cameron Highlands, malah seluruh daerah di Pahang, tetapi saya tak mampu buat sendiri, harap rakyat beri maklumat kepada pejabat saya dan kerajaan,” titah baginda.

Baginda turut menzahirkan rasa dukacita apabila dimaklumkan bahawa lebih 10,500 hektar tanah di Raub telah diceroboh, selain hampir 6,000 hektar Hutan Simpanan Kekal (HSK) turut diteroka secara haram.

“Hentikan segera amalan menceroboh tanah, lombong dan balak ini… lebih penting saya harap mereka yang ada niat nak menceroboh, eloklah tinggalkan Pahang, pergi luar dari Malaysia. Ini kerana undang-undang akan ‘menyusahkan’ mereka dan keluarga kelak,” tegas Al-Sultan Abdullah.

Baginda menegaskan bahawa negeri Pahang bukan medan untuk pihak yang rakus mengambil hasil bumi secara haram, dan tindakan tegas perlu diambil demi menjaga kedaulatan tanah dan alam sekitar negeri.

Titah baginda, kesedaran dalam kalangan rakyat dan pentadbir telah mula meningkat sejak isu pencerobohan tanah dilaporkan secara meluas.

“Setakat ini apa yang saya dapat lihat, ada kesedaran daripada semua pihak antaranya rakyat dan pentadbir khusus pada peringkat daerah. Banyak juga maklumat datang ke pejabat saya yang kemudian telah disalurkan kepada kerajaan negeri untuk tindakan lanjut,” titah baginda lagi.

Kesungguhan baginda turut dizahirkan melalui tindakan turun padang, termasuk memandu sendiri pacuan empat roda meninjau kesan pencerobohan di Raub pada 8 Mei lalu.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat