Malaysia Tegas Sokong Hak Palestin, Belum Buat Keputusan Sertai Deklarasi Desak Hamas Letak Senjata

CYBERJAYA – Malaysia menegaskan pendiriannya bahawa Palestin mempunyai hak mutlak untuk wujud sebagai sebuah negara berdaulat, dan buat masa ini belum membuat sebarang keputusan untuk menandatangani kenyataan bersama yang mendesak Hamas menyerahkan kuasa pemerintahan di Gaza.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata kerajaan masih meneliti dokumen deklarasi tersebut yang dikemukakan hasil koordinasi antara Arab Saudi dan Perancis, susulan sidang khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) baru-baru ini.

“Pendirian kerajaan adalah Palestin itu punya hak untuk wujud dan kita tidak melihat kepada perkara-perkara lain,” tegas beliau dalam sidang media selepas mesyuarat Jemaah Menteri di Menara Komunikasi, hari ini.

Menurut Fahmi, antara kandungan utama deklarasi itu termasuk gesaan agar Hamas meletakkan senjata dan menyerahkan Gaza kepada Pihak Berkuasa Palestin (PA). Namun kerajaan Malaysia, katanya, berpendapat dokumen itu perlu diteliti secara menyeluruh terlebih dahulu.

“Buat masa ini Malaysia belum membuat keputusan untuk menandatangani kenyataan berkenaan… Kita berikan sedikit masa kepada Wisma Putra untuk meneliti sepenuhnya dokumen yang dimaksudkan,” jelasnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa wakil tetap Malaysia ke PBB telah diminta untuk memberi perhatian khusus terhadap kandungan dokumen berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan, untuk mengeluarkan kenyataan rasmi di Dewan Rakyat berhubung perkara tersebut pada awal minggu hadapan.

Setakat ini, seramai 17 negara, termasuk Qatar, Arab Saudi, Mesir, Britain, Perancis dan Kanada, telah menandatangani deklarasi yang menuntut agar Hamas menghentikan pentadbiran di Gaza dan menyerahkan kuasa kepada PA, sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik ke arah penyelesaian dua negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat