Amni Food lancar produk baharu di Mega Karnival 3 Dimensi 2025: kisah anak Felda menjadi inspirasi kejayaan

KUALA LUMPUR, 31 Julai 2025 – Dalam suasana penuh semangat dan patriotisme, Amni Food Industries Sdn. Bhd., sebuah syarikat pengeluar makanan sejuk beku yang semakin mendapat tempat di hati pengguna Malaysia, melakar sejarah penting apabila melancarkan produk terbaharu mereka di Mega Karnival 3 Dimensi 2025 bertempat di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC), Kuala Lumpur. Karnival yang dianjurkan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) ini menjadi platform kepada syarikat-syarikat usahawan Bumiputera, khususnya anak-anak Felda, untuk memperkenalkan produk dan perkhidmatan kepada khalayak yang lebih luas.

Majlis pelancaran produk tersebut telah dirasmikan oleh Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, dan turut disaksikan oleh beberapa tokoh penting termasuk timbalan-timbalan pengarah besar FELDA, wakil institusi pengajian tinggi, serta pelbagai agensi pembangunan keusahawanan. Kehadiran ramai pengunjung dan usahawan pada majlis berprestij ini membuktikan bahawa inisiatif FELDA dalam menggalakkan pembangunan ekonomi komuniti peneroka terus relevan dan mendapat sambutan hangat.

Amni Food mengambil kesempatan di pentas karnival ini untuk memperkenalkan pelbagai produk makanan sejuk beku terbaharu yang menepati citarasa rakyat Malaysia dan bersesuaian dengan gaya hidup moden. Antara produk yang dilancarkan termasuklah Popia Cheese Carbonara, Chicken Chop Frozen, Marinated Lamb, dan pelbagai lagi variasi makanan yang telah dirumus khas oleh pasukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) anak tempatan. Semua produk ini dikilangkan dengan menggunakan teknologi sejuk beku moden dan kawalan kualiti automatik, selaras dengan komitmen syarikat terhadap standard kebersihan, keselamatan dan kualiti makanan.

Pengarah Urusan Amni Food, Encik Abdul Razis Md Salim, dalam ucapan beliau menzahirkan rasa syukur dan bangga apabila syarikatnya, yang diasaskan dari dapur kecil tanpa modal besar, kini mampu berdiri teguh di bawah jenama tersendiri. Beliau berkongsi bahawa perjalanan keusahawanan ini bermula dengan impian kecil dan usaha berterusan demi menyambung harapan seorang ayah.

“Alhamdulillah, dengan penuh rasa syukur saya berdiri di hadapan tuan-tuan dan puan-puan hari ini bukan sekadar untuk melancarkan produk baharu, tetapi untuk menghidupkan semula satu kisah mimpi seorang anak kampung. Saya bukan datang daripada seorang usahawan yang besar tetapi sebagai anak peneroka Felda. Hari ini saya berdiri membawa suara dan semangat komuniti yang telah membentuk saya. Kejayaan ini bukan milik saya seorang, saya mahu melihat lebih ramai anak Felda dan anak kampung mencipta nama sendiri dengan usaha, jati diri dan keberanian,” katanya dalam ucapan penuh emosi dan inspirasi.

Amni Food Industries Sdn. Bhd. merupakan syarikat tempatan yang mula beroperasi sekitar tahun 2021 dan kini berpangkalan di Balakong, Selangor. Syarikat ini memfokuskan kepada pengeluaran makanan sejuk beku berkonsep Ready-To-Cook (RTC) dan Ready-To-Eat (RTE) yang sesuai untuk pengguna moden yang menghargai masa tanpa mengabaikan kualiti dan rasa makanan. Jenama utama syarikat, kHamSa, telah berjaya membina pengikut tersendiri terutamanya dalam kalangan pengguna muda dan keluarga berkerjaya.

Produk Amni Food mendapat sambutan luar biasa kerana bukan sahaja menepati citarasa pengguna tempatan, malah menawarkan penyediaan yang amat mudah dan menjimatkan masa. Produk seperti Popia Cheese Carbonara hanya perlu dipanaskan dalam minyak selama lima minit sebelum boleh dinikmati. Selain itu, makanan sejuk beku keluaran syarikat ini mampu bertahan sehingga 12 bulan apabila disimpan dalam keadaan beku, dan lebih baik dimakan dalam tempoh 24 jam selepas dimasak untuk mengekalkan kualiti optimum.

Selain jualan secara terus kepada pengguna, Amni Food kini mengorak langkah lebih jauh dengan menjalinkan kerjasama strategik bersama pasar raya seperti Segi Fresh, serta memasarkan produknya secara dalam talian melalui laman web rasmi mereka di www.amnifood.com.my. Inisiatif ini membolehkan syarikat meluaskan capaian pasaran mereka ke seluruh negara, termasuk pelanggan dari kawasan luar bandar dan pinggir bandar.

Kejayaan Amni Food juga tidak datang tanpa sokongan institusi penting. Syarikat ini merupakan antara peserta program keusahawanan anjuran Perbadanan Nasional Berhad (PNS) seperti PNS Max10 dan GLOW Plus, selain turut menerima bimbingan daripada Jabatan Pembangunan Ekonomi Komuniti (JPEK). Baru-baru ini, Amni Food turut memeterai memorandum persefahaman dengan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), yang membuka laluan kepada kerjasama industri-akademia dalam memperkukuh inovasi dan pembangunan produk baharu.

Pelancaran produk baharu ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Amni Food dalam industri makanan tempatan, malah menjadi simbol kebangkitan dan daya tahan usahawan Felda dalam menghadapi cabaran zaman. Kisah inspirasi Abdul Razis dan Amni Food kini menjadi teladan kepada generasi muda bahawa dengan keberanian, kecekalan dan sokongan ekosistem yang betul, kejayaan mampu digapai tanpa mengira latar belakang.

Majlis pelancaran ini menandakan satu lagi pencapaian bermakna bukan sahaja untuk Amni Food, tetapi juga buat seluruh komuniti Felda yang sentiasa dahagakan kejayaan anak bangsa. Dengan semangat Malaysia Madani, syarikat seperti Amni Food membuktikan bahawa anak Felda juga mampu melangkah ke hadapan, membina legasi, dan menyumbang kepada kemajuan ekonomi negara.

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat