PHNOM PENH: Kerajaan Kemboja memohon bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu membebaskan 20 anggota tenteranya yang masih ditahan oleh pihak tentera Thailand, susulan konflik bersenjata antara kedua-dua negara yang baru-baru ini mencapai persetujuan gencatan senjata.
Permintaan itu disampaikan secara rasmi oleh Panglima Angkatan Tentera Diraja Kemboja, Jeneral Vong Pisen, kepada Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, yang kini mengetuai pasukan pemantau dan penyelaras gencatan senjata.
Menurut laporan Agence Kampuchea Presse (AKP) yang memetik kenyataan Perdana Menteri Hun Manet, rundingan antara pihak tentera Kemboja dan Thailand sedang berlangsung bagi mencari penyelesaian terbaik untuk membawa pulang anggota yang masih ditahan.
“Saya amat berharap agar tentera Thailand dapat mengembalikan semua anggota tentera kami yang kini berada dalam tahanan mereka ke Kemboja secepat mungkin,” kata Manet.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Kemboja, Maly Socheata, turut mengesahkan bahawa setakat ini hanya satu mayat anggota tentera telah diserahkan oleh pihak Thailand, manakala 20 lagi masih belum dibebaskan.
“Daripada 21 anggota tentera Kemboja yang berada di bawah kawalan tentera Thailand, setakat ini kami hanya menerima satu mayat. Usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan baki 20 lagi dapat dibawa pulang dengan selamat,” katanya.
Konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja berakhir secara rasmi tepat tengah malam 28 Julai, selepas satu rundingan damai yang dimediasi oleh Malaysia diadakan di Putrajaya, dan menyaksikan kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata.



