KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan tidak mahu rakyat Malaysia sekadar menjadi jaguh kampung yang hebat di gelanggang sendiri, tetapi tenggelam di pentas dunia.
Justeru, beliau menyeru supaya seluruh rakyat sama-sama mengangkat semula imej Malaysia sebagai negara makmur yang kaya dengan keunikan budaya dan berpaut kuat pada akar nilai tempatan dan sejarahnya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sistem pendidikan negara akan diperkemas agar lebih bersepadu, berkesan dan responsif kepada cabaran masa depan.
Untuk itu katanya, Kementerian Pendidikan (KPM) akan bertanggungjawab sepenuhnya dalam mengawal selia pendidikan prasekolah hingga menengah.
“Manakala pendidikan prauniversiti dan pengajian tinggi diselaras oleh Kementerian Pendidikan Tinggi, dengan matlamat memperjelas bidang kuasa dan meningkatkan kecekapan dasar serta pelaksanaan,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Selain itu Anwar juga memberitahu, Majlis Pendidikan Negara ditubuhkan untuk menyelaras, memantau serta merangka tindakan intervensi yang bersesuaian bagi memastikan sistem pendidikan negara sentiasa terkedepan dan bertaraf dunia.
Jelas Perdana Menteri, kerajaan juga akan melaksanakan projek rintis pemberian autonomi kepada universiti awam yang terpilih bagi memperkukuh tadbir urus institusi pengajian tinggi.
“Pengantarabangsaan institusi pendidikan tinggi awam juga akan diperkukuh bagi meningkatkan daya saing institusi pada peringkat global.
“Program latihan dan peningkatan kemahiran secara berterusan akan dilaksanakan bagi meningkatkan kompetensi dan profesionalisme guru yang menjadi akar sistem pendidikan negara ini.
“Mekanisme pengambilan guru daripada pelbagai sumber secara terbuka akan ditambah baik. Pendekatan ini adalah bagi memastikan peluang disediakan kepada calon yang benar-benar layak, berpotensi dan mempunyai komitmen tinggi terhadap dunia pendidikan,” tegas beliau.
Anwar memberitahu lagi, Negara Bangsa yang hebat memerlukan sistem sosial berteras insan Madani yang syumul dan mampu menyatukan rakyat berbilang kaum, agama dan latar budaya dalam keharmonian.
“Program seperti Kembara Perpaduan Malaysia akan diteruskan untuk mendekatkan masyarakat berbilang latar melalui pendidikan nilai dan dialog terbuka rentas budaya.
“Manakala Piagam Harmoni Malaysia akan dibangunkan sebagai panduan utama bagi perhubungan dan keharmonian antara agama dan kaum di Malaysia.
“Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) turut dilaksanakan dengan pembaharuan yang selari kehendak semasa. Identiti nasional akan diperkukuh melalui kefahaman dan semangat kebersamaan,” katanya.
Selain itu beliau mengumumkan, sebanyak RM67 bilion akan diperuntukkan bagi sektor pendidikan, antaranya untuk membina sekolah baharu, membaiki dan menaik taraf bangunan sekolah termasuk tadika KEMAS serta fasiliti dan kemudahan institusi pendidikan tinggi awam.
“Untuk rekod, sehingga 2025, kerajaan telah menaik taraf 1,200 sekolah daif di seluruh negara.
“Pembinaan sekolah juga akan dijadikan syarat Kebenaran Merancang bagi projek perumahan berskala besar yang baharu. Manakala pembinaan sekolah vertikal akan diperluas bagi menangani isu kepadatan pelajar dan ketiadaan tapak sekolah yang
bersesuaian.
“Kerajaan tekad memastikan kadar enrolmen murid prasekolah dan menengah mencapai 98%, yakni melebihi kadar enrolmen sejagat,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang merupakan penanda aras utama pada peringkat kebangsaan akan terus diguna pakai untuk menilai keberkesanan dasar, kurikulum dan pendekatan pedagogi sistem pendidikan.
“Pada masa yang sama, kualiti pendidikan negara akan ditingkatkan agar berada separas purata antarabangsa berdasarkan penilaian PISA dan TIMSS bagi memastikan sistem pendidikan kekal berdaya saing dan relevan.
“Bagi mempertingkatkan keberhasilan pendidikan, kerajaan sedang bergerak ke arah mewajibkan prasekolah bermula umur 5 tahun.
“Dalam masa yang sama, lebih banyak kemudahan prasekolah di sekolah kelolaan KPM akan disediakan terutama di kawasan desa,” ujarnya.
Selain itu, Anwar berkata, penekanan turut diberikan kepada pengukuhan pendidikan STEM dan literasi digital, termasuk pengenalan asas AI, bagi melahirkan generasi yang bersedia memenuhi permintaan pasaran kerja masa depan yang bernilai tinggi.



