KUALA LUMPUR – Malaysia mahu bangkit sebagai peneraju ekonomi Asia dan dikenali dengan identiti sendiri yang mengangkat akar budaya dan hikmah Timur.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, menjelang tahun 2030, aspirasi Malaysia adalah untuk muncul sebagai negara berpendapatan tinggi dan tergolong dalam 30 ekonomi utama dunia.
“Aspirasi ini memerlukan kita membulatkan tekad untuk mempercepat peralihan kepada ekonomi berasaskan penciptaan nilai dengan memupuk budaya inovasi.
“Malaysia perlu bingkas daripada sekadar menjadi pengguna, kepada peneraju teknologi dan pengeluar produk serta perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ yang bertaraf dunia,” kata Anwar ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Mengulas lanjut Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, hari ini, “peluang generasi” atau generational opportunity dalam AI telah berada di depan mata dan tidak harus dilepaskan.
“Malaysia menetapkan hala tuju yang jelas untuk menerajui ekonomi Asia Tenggara dalam AI, teknologi digital dan industri tenaga boleh baharu dengan aspirasi untuk muncul sebagai pemain berpengaruh pada peringkat global.
“Penerapan inovasi teknologi tempatan akan diberi tumpuan bagi menggalakkan pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam pembangunan aset digital strategik seperti AI, data analitik dan sistem digital kerajaan.
“Aktiviti RDCI juga akan dipergiat bagi meningkatkan produk dan perkhidmatan berasaskan “Made by Malaysia”.
“Langkah ini penting untuk memperkukuh daya saing ekonomi negara, selain membangunkan industri yang lebih mampan dan berimpak tinggi selaras hasrat menjadi negara berteraskan kecerdasan buatan,” katanya.



