KUALA LUMPUR – Pelaburan strategik oleh syarikat penerbangan tempatan akan ditingkatkan dengan perolehan 178 pesawat baharu dan penambahan perkhidmatan penerbangan akan dilaksanakan.
Kata Perdana Menteri, penyahsenaraian Malaysia Airport Holding Berhad (MAHB) membolehkan pembaharuan segera dilaksanakan dengan tumpuan kepada menaik taraf prasarana, memperluas kesalinghubungan serta menambah baik pengalaman pengguna.
Datuk Seri Anwar Ibrahim memberitahu, keutamaan diberikan untuk memperkukuh KLIA sebagai hab serantau yang berdaya saing selain terus meningkatkan kapasiti
dan kecekapan lapangan terbang lain, seperti Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.
“Seiring dengan itu, agenda pengantarabangsaan ekonomi negara turut digerakkan secara menyeluruh dan terangkum.
“Dasar mesra pelabur diperkenalkan bagi menggalakkan penubuhan ibu pejabat serantau serta kemasukan bakat global,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat pada Khamis.
Perkembangan lain Anwar berkata, negara juga mensasarkan pelaburan daripada individu berpendapatan tinggi (high net worth individuals).
“Pada masa yang sama, kerjasama ekonomi serantau akan terus diperkukuh melalui IMT-GT dan BIMP-EAGA dengan penglibatan aktif sektor swasta dan pembangunan zon pertumbuhan ekonomi rentas sempadan.
“Malaysia juga mengorak langkah ke hadapan dengan memperluas pasaran eksport dan pelaburan ke rantau baharu termasuk Eropah, pasaran BRICS, benua Afrika dan negara anggota OIC.
“Ini termasuklah pengukuhan strategi pengantarabangsaan industri francais tempatan ke pasaran serantau dan global,” katanya.
Ujarnya, antara tumpuan utama ialah pengukuhan kerjasama perdagangan menerusi kesalinghubungan sistem pembayaran rentas sempadan serta peningkatan koordinasi antara agensi kastam serantau bagi mempercepat urusan logistik dan pergerakan barangan.
“Pendekatan holistik ini diyakini mampu memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab serantau yang berdaya saing dalam perdagangan, pelaburan dan pengembangan bakat,” kata Anwar.



