KUALA LUMPUR – Himpunan Turun Anwar boleh dikonklusikan hanya sekadar salah satu acara musuh politik Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mencipta momentum namun tiada sebarang mesej.
Penganalisis politik Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian malah berkata, Perdana Menteri masih hadir ke program dan berjumpa rakyat serta pemimpin seperti biasa tanpa merasa ada gugatan.
Pensyarah Sosiologi Politik Universiti Sains Malaysia (USM) itu menegaskan, menurunkan Anwar tidak semudah pergi ke jalanan.
“Demo “Turun Anwar” barangkali cubaan blok pembangkang untuk membina momentum selepas hampir 3 tahun Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
“Walaupun ada yang masih mengira berapa ramai yang hadir (18,000, 25,000, 300,000) namun apa yang penting adalah apakah mesej yang mahu disampaikan sampai kepada penerima? atau sekadar menjadi salah satu acara musuh politik Anwar?
“(Sedangkan) Anwar masih turun ke program dan berjumpa rakyat dan pemimpin seperti biasa tanpa merasa ada gugatan.
“Menurunkan Anwar tidak semudah pergi ke jalanan,” tegas Sivamurugan kepada SuaraTV pada Isnin.
Beliau malah menghuraikan beberapa kaedah untuk seseorang Perdana Menteri melepaskan jawatan.
“Bagi seorang Perdana Menteri, ada pelbagai pendekatan untuk melepaskan jawatan. Pertama, tiba- tiba membuat keputusan meletak jawatan, seperti Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2002.
“Kedua, hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat, seperti Dr Mahathir pada 2020, dan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2021; kecuali dalam keadaan seperti ini, Yang di-Pertuan Agong memperkenankan permintaan Perdana Menteri ntuk membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya.
“Ketiga, partinya kalah dalam pilihan raya seperti Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” jelas beliau.
Pun begitu, Sivamurugan masih mengingatkan kerajaan pimpinan Anwar untuk meneliti janji-janji pilihan raya.
“Walaupun begitu ia tidak boleh dianggap memberi isyarat palsu kerana isu seperti kos sara hidup, ekonomi, cukai, keselesaan hidup, pekerjaan (masih dituntut rakyat).
“Janji PRU perlu diteliti untuk memberikan tafsiran kepada momentum yang cuba dibina ini,” katanya.



