KUALA LUMPUR – Pendakwah dan jurulatih debat yang kini berpangkalan di Qatar, Salman Ali, menyifatkan tindakan membaca dan mengaminkan doa kehancuran terhadap Perdana Menteri Datouk Seri Anwar Ibrahim secara terbuka sebagai keterlaluan dan mencerminkan penyalahgunaan agama dalam perbalahan politik.
Menurut beliau, bentuk doa sedemikian seolah-olah menyerupai Qunut Nazilah – yang secara tradisi dibaca dalam situasi umat Islam diancam oleh musuh luar.
Menggunakan pendekatan itu terhadap seorang pemimpin Muslim dalam konteks politik dalaman, kata beliau, adalah satu bentuk pelampauan yang tidak berasas.
“Bunyinya seolah-olah Qunut Nazilah mendoakan kehancuran musuh Islam,” ujar beliau dalam akauan media Facebooknya.
Salman yang juga lulusan Pengajian Islam dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), serta jurulatih kanan di QatarDebate, turut menempelak sikap hipokrit sesetengah pemimpin politik yang dahulunya menyokong amalan sama, tetapi kini berubah mengikut kepentingan kuasa.
“Dahulu doa sebegini sering dibaca ketika Tun M memimpin kerajaan BN dan PMX menyambut baik pendekatan itu. Sekarang sebaliknya dibaca kepada PMX dan Tun M pula yang menyambut baik pendekatan begini,” katanya.
Lebih jauh, beliau menegur konsistensi pimpinan PAS yang menurutnya kerap kali memimpin pendekatan mempergunakan agama dalam gelanggang politik, walaupun realitinya ia hanya persaingan kuasa, bukan pertentangan akidah.
“Isu hari ini bukan tentang agama tetapi sekadar perselisihan politik. Masakan ia perselisihan agama kalau mereka boleh bersama dalam satu barisan bersama ekstrimis Hindu yang baru beberapa tahun lalu dimusuhi habis-habisan.”
Salman Ali sebelum ini pernah beberapa kali terlibat dalam debat awam mengenai isu ketuhanan dan prinsip teologi, dan dikenali dalam kalangan masyarakat intelektual Islam sebagai tokoh yang lantang membahaskan batas-batas penggunaan agama dalam ruang awam.
Beliau mengakhiri komentarnya dengan menyeru agar politik dipisahkan daripada eksploitasi agama, demi kesucian dakwah dan kematangan demokrasi.ii



