Kota Kinabalu, – Kerajaan Negeri Sabah hari ini menafikan bahawa lesen mencarigali mineral telah dikeluarkan kepada syarikat yang dikaitkan dengan tokoh politik berprofil tinggi, Farhash Wafa Salvador.
Penafian ini dibuat susulan laporan media yang mendakwa wujud kelulusan oleh agensi kerajaan negeri kepada Bumi Suria Sdn Bhd, syarikat yang dinamakan dalam beberapa dokumen rasmi dan rakaman audio sebagai penerima hak mencarigali kawasan seluas lebih 70,000 hektar di Hutan Simpan Kalabakan dan Gunung Rara kawasan bersaiz hampir tiga kali ganda keluasan Kuala Lumpur.
Laporan eksklusif oleh portal MalaysiaNow pada 21 Julai lalu memetik surat rasmi, minit mesyuarat dan rakaman audio yang menunjukkan proses kelulusan oleh Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) dan penglibatan pimpinan tertinggi negeri.
Rakaman audio yang kemudiannya turut disiarkan oleh Suara.TV memaparkan perbincangan antara beberapa pegawai kanan termasuk Ketua Menteri Sabah, di mana seorang pegawai menyuarakan kebimbangan bahawa kawasan yang dicadangkan terlalu luas. Namun, perbualan tersebut menunjukkan terdapat persetujuan untuk meneruskan kelulusan.
“Tapi kawasan itu terlampau luaslah Datuk Seri, 70,000 hektar.”
“Ya, itu kita atur nanti. Yang penting, kita luluskan dia punya permohonan.”
Turut dilaporkan ialah rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) yang menunjukkan Farhash Wafa Salvador dan seorang lagi individu, Aminuddin Mustapha, dilantik sebagai pengarah Bumi Suria Sdn Bhd pada Mei 2024 sekitar tempoh yang sama permohonan dibuat.
Hari ini, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah dalam kenyataan medianya menegaskan bahawa tiada lesen mencarigali pernah diluluskan kepada Bumi Suria Sdn Bhd di bawah peruntukan Ordinan Perlombongan Sabah 1960 (SMO 1960).
Kenyataan itu ditandatangani oleh Pengarah Tanah dan Ukur Sabah merangkap Ketua Merinyu Galian Negeri, Datuk Sr Bernard Liew Chau Min, yang memaklumkan bahawa sebarang dakwaan, promosi atau kenyataan yang mengaitkan syarikat tersebut dengan kelulusan rasmi adalah tidak berasas dan tidak sah.
Penjelasan turut diperkuat melalui surat rasmi daripada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) bertarikh 24 Mac 2025 yang menyatakan bahawa kelulusan kebenaran untuk memohon lesen mencarigali yang pernah diberikan kepada Bumi Suria Sdn Bhd telah terbatal secara automatik selepas syarikat itu gagal mengemukakan permohonan lengkap sebelum tarikh luput pada 22 Mac 2025.
Ini bermakna, walaupun wujud kebenaran awal untuk memohon, proses seterusnya tidak pernah dilengkapkan dan tiada sebarang lesen carigali rasmi pernah dikeluarkan oleh pihak berkuasa negeri.
Kenyataan rasmi kedua-dua agensi ini JTU dan SMM secara jelas menyanggah dakwaan bahawa Bumi Suria Sdn Bhd memiliki lesen mencarigali yang sah di Sabah.
Meskipun wujud pendedahan berkaitan dokumen dalaman dan rakaman mesyuarat yang mengundang persoalan awam, pihak kerajaan negeri menegaskan bahawa tiada kelulusan sah dikeluarkan mengikut saluran dan prosedur yang diperuntukkan dalam undang-undang. – SuaraTV



