KOTA KINABALU, – Usaha merapatkan jurang digital di kawasan luar bandar terus diperkasa apabila Menteri Komunikasi, YB Datuk Fahmi Fadzil hari ini merasmikan Program Duta NADI di Sabah, bertujuan memperluas manfaat Perkhidmatan Pintar Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kepada komuniti setempat.
Program anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) ini menyaksikan seramai 50 mahasiswa UMS terpilih sebagai perintis Duta NADI.
Para sukarelawan ini bakal memainkan peranan penting sebagai agen advokasi akar umbi bagi menyebarluaskan mesej-mesej penting MCMC, termasuk Kempen Internet Selamat (KIS), kepada komuniti dan sekolah di kawasan kediaman masing-masing.
Bagi melengkapkan persediaan, sukarelawan terpilih akan mengikuti Bengkel Training of Trainers (TOT) selama dua hari bermula 25 hingga 26 Julai 2025 di UMS. Bengkel ini akan memfokuskan kepada asas kesukarelawanan, objektif dan fungsi NADI, modul Perkhidmatan Pintar NADI serta kandungan utama KIS.
Mereka seterusnya akan dilantik sebagai Duta NADI dengan tanggungjawab menyampaikan taklimat serta mengadakan sesi penerangan bersama pelajar sekolah rendah dan menengah, ibu bapa, guru dan usahawan tempatan, selaras dengan program yang dijalankan di 25 buah NADI yang dipadankan dengan kampung halaman masing-masing.
Inisiatif ini dilihat sebagai langkah proaktif bagi menarik lebih ramai anggota masyarakat, tanpa mengira latar belakang dan peringkat umur, untuk mengenali serta memanfaatkan kemudahan digital yang ditawarkan NADI secara optimum.
Para sukarelawan akan memulakan tugas rasmi mereka sepanjang cuti semester yang bermula 28 Julai hingga 28 September 2025, khususnya untuk meningkatkan kesedaran digital di kawasan luar bandar dan pedalaman Sabah.
Majlis perasmian hari ini turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, YBhg. Datuk Mohamad Fauzi bin Md Isa, Naib Canselor UMS, YBhg. Prof. Datuk Dr. Kasim bin Haji Mansor serta Pengarah Urusan MCMC, Abdul Karim Fakir Ali.



