KUALA LUMPUR – Pejabat Perdana Menteri (PMO) menyatakan kesediaan untuk menawarkan sesi taklimat sama ada ringkas atau terperinci kepada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata, Menteri Besar Kedah serta segelintir pimpinan pembangkang semalam “memperlekeh” penurunan harga RON95 daripada RM2.05 ke RM1.99 dan bantuan RM100 secara one off kepada semua orang dewasa di Malaysia.
“Pengumuman semalam juga khusus untuk menangani beban kos sara hidup rakyat dalam masa terdekat. Bantuan dan inisiatif lain untuk tahun depan akan diumumkan semasa Belanjawan 2026 yang akan dibentangkan Oktober ini.
“Sekiranya tiada gangguan daripada “belalang di tepi lautan” seperti Sanusi dan rakan-rakan, Insya-Allah Kerajaan Madani akan berkongsikan lebih banyak kemakmuran kepada rakyat Malaysia.
“Pejabat Perdana Menteri (PMO) sentiasa bersikap terbuka sekiranya Menteri Besar Kedah memerlukan taklimat ringkas, atau terperinci, agar tidak lagi ‘senget’, ‘gelong’ dan tersasar dalam membuat ulasan, lebih-lebih lagi bila ia melibatkan fakta asas pengurusan kewangan negara,” selar Tunku Nashrul.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sejak hari pertama memimpin negara pada penghujung 2022, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak pernah berhenti untuk memperbaiki keadaan kewangan negara demi untuk kesejahteraan rakyat.
“Apabila keadaan kewangan negara beransur pulih, baru sedikit demi sedikit bantuan kepada rakyat diberikan untuk meringankan sedikit beban dalam ketidaktentuan ekonomi global ini.
“Perdana Menteri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat kerana memberikan sokongan dan dukungan serta tetap bersabar ketika usaha-usaha memperbaiki negara dijalankan.
“Walaupun segelintir pihak termasuk Ketua Pembangkang menghina, mencerca dan mengaibkan Perdana Menteri hampir setiap hari menggunakan media sosial untuk memperlekehkan segala usaha Kerajaan Madani, sedikit pun beliau tidak berganjak dan berkecil hati,” kongsi Tunku Nashrul lagi.
Beliau bahkan mengulangi permohonan maaf yang disampaikan oleh Perdana Menteri semalam kerana kelewatan menunaikan sesetengah janjinya sebelum menjadi Perdana Menteri.
“Akan tetapi sekurang-kurangnya penjimatan kos RON95 dapat membantu serba sedikit meringankan beban rakyat. Dan perlu diingat, inilah buat pertama kalinya, semua rakyat tanpa mengira status sosial menerima “sesuatu” daripada kerajaan sempena bulan Kemerdekaan.
“Saya ingin mengambil sedikit masa untuk membantu Datuk Seri Sanusi memahami perbezaan antara “bantuan” dan “belanjawan” satu konsep asas pentadbiran yang barangkali sukar difahami beliau sepanjang menjadi Menteri Besar.
“Semua inisiatif yang diumumkan semalam bukanlah sebahagian daripada Belanjawan 2026, Belanjawan 2026 hanya boleh diguna pakai pada tahun 2026 sebab itu namanya Belanjawan 2026. Manakala kesemua penghargaan yang diumumkan semalam akan dilaksanakan tahun ini, bermula dengan SARA untuk semua pada 31 Ogos 2025.
“Penghargaan khas ini diumumkan dengan mengambil kira keupayaan fiskal negara, dan sebagai tambahan kepada apa yang telah direncanakan di dalam Belanjawan 2025,” jelas Tunku Nashrul.



