Tak boleh bawa senjata, kanak-kanak dan sentuh 3R ketika demo “Turun Anwar” – Menteri KDN

KUALA LUMPUR – Kerajaan menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung pe­nganjur perhimpunan yang tidak perlu memaklumkan polis dan membenarkan Himpunan Turun Anwar pada 26 Julai ini.

Bagaimanapun, Menteri Da­lam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan, walaupun seksyen tertentu dalam Akta Perhimpunan Aman diisytihar tidak berperlembagaan, tiga perkara utama masih kekal dan perlu dipatuhi penganjur serta peserta.

“Tiga larangan utama perlu dipatuhi peserta perhimpunan iaitu tidak dibenarkan membawa senjata berbahaya, ucapan tidak menyentuh 3R (raja, agama dan kaum) dan tidak dibenarkan membawa kanak-kanak.

“Kalau mereka langgar (tiga larangan), kita terpaksa ambil tindakan. Tapi jangan pula kata polis tak hormati kebebasan. Itu tidak kena,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya, semalam lapor Utusan.

Himpunan Turun Anwar anjuran Perikanan Nasional (PN) dijangka berlangsung di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 26 Julai ini dengan lebih 300,000 orang akan hadir pada himpunan itu dari seluruh negara.

Ia sebagai manifestasi rakyat untuk selamatkan negara yang kini dihimpit pelbagai masalah berpunca daripada individu bernama Anwar Ibrahim.

Saifuddin Nasution mengakui Himpunan Turun Anwar itu ‘sedikit menyulitkan’ pihak polis, namun ia tetap akan dikendalikan secara profesional.

Menurutnya, penganjuran himpunan itu menuntut pihak berkuasa itu merancang aspek keselamatan, namun, menjadi tugas polis untuk memastikan ia berjalan lancar.

“Himpunan itu telah pun dihebahkan dan dalam keadaan itu, Mahkamah Persekutuan juga telah membuat keputusan bahawa penganjur tak perlu be­ri­tahu dengan polis.

“Jadi kita tak boleh mengatasi keputusan Mahkamah Persekutuan. Namun, polis tetap ber­tang­gungjawab memastikan kes­e­lamatan awam terjamin.

“Kalau penganjur disyaratkan beritahu polis, kita tahu dia nak kumpul di mana, berapa anggaran kekuatan peserta. Jadi kita boleh gerakkan angka yang munasabah. Bukan sekat, tapi untuk memudahkan,” katanya.

Jelasnya lagi, kerajaan tidak pernah menyekat kebebasan bersuara rakyat, namun perhimpunan mesti berlangsung dalam batas undang-undang dan tidak mencetus kekacauan.

Pada awal bulan ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan, tindakan mendenda penganjur perhimpunan yang gagal memberikan notis lima hari kepada pihak berkuasa adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Keputusan sebulat suara itu diputuskan oleh panel lima hakim Mahkamah Persekutuan diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam kes bekas Setiausaha Agung Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Amir Hariri Abdul Hadi.

Hakim Tengku Maimun berkata, Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (APA) itu adalah bertentangan dengan peruntukan Perkara 8 dan 10(1)(b).

Berdasarkan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan, semua warganegara adalah sama di sisi undang-undang dan layak mendapat perlindungan sama rata.

Sementara itu, Gabungan Pi­lihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) memutuskan untuk tidak menyertai perhimpunan ber­ke­naan dan meminta kerajaan tidak perlu campur tangan.

Presiden Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz ketika dihubungi Utusan Malaysia menegaskan, hak untuk berhimpun tidak boleh diganggu atau di­sekat oleh kerajaan.

“Bersih tidak akan terlibat secara langsung dalam himpunan tersebut. Biar ia dijalankan oleh penganjur daripada parti sendiri. Namun, kami mahu kerajaan tidak menghalang atau mencampurisi penganjuran himpunan itu.

“Itu adalah hak rakyat Malaysia. Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan untuk berhimpun secara aman dan tanpa senjata,” katanya.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat