Di sebalik pengumuman Fahmi mengenai pelaksanaan Sistem Alamat Nasional

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi Malaysia kini sedang mengambil langkah serius untuk menyusun semula sistem pengalamatan negara melalui pelaksanaan Sistem Alamat Nasional atau National Address System (NAS) satu inisiatif strategik yang bakal menjadi tulang belakang kepada transformasi digital perkhidmatan awam dan ekonomi negara.

Pelaksanaan NAS diumumkan secara rasmi dalam Persidangan Alamat Nasional 2025 yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) pagi tadi.

Persidangan anjuran Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini menghimpunkan lebih 500 peserta daripada sektor kerajaan, industri, akademia dan masyarakat sivil.

Darurat Pengalamatan Negara

Malaysia kini dianggarkan mempunyai lebih 12 juta alamat, namun sehingga kini tiada satu pangkalan data nasional yang seragam dan berautoriti. Ketidakselarasan ini bukan sahaja menjejaskan keberkesanan perkhidmatan logistik dan e-dagang, tetapi turut memberi kesan langsung terhadap respons kecemasan, perancangan bandar dan integrasi sistem pintar.

“Banyak data alamat yang kita ada tidak sahih, tidak berpandukan piawaian dan tidak berpusat. Akibatnya, berlaku kelewatan penghantaran, kegagalan mengenal pasti lokasi bencana, serta kesan besar kepada pertumbuhan ekonomi digital,” ujar Fahmi dalam ucapannya.

Apa itu NAS dan Mengapa Ia Penting?

NAS merupakan sistem pengalamatan berpusat dan berpandukan piawaian MS2039 yang akan menyelaraskan semua alamat di Malaysia dan memperkenalkan pengecam lokasi unik berasaskan geokod bagi setiap premis.

Ia dijangka memperkukuh sektor-sektor berasaskan lokasi seperti e-dagang, perkhidmatan kurier dan logistik, selain menyokong sistem pengangkutan awam bersepadu dan pengurusan tenaga pintar. Yang paling kritikal, ia akan menjadi elemen asas kepada pembangunan bandar pintardan ekonomi digital berdaya saing.

Nilai Ekonomi dan Peluang Pekerjaan

Kajian awal yang dikongsikan menteri menunjukkan NAS mampu memberikan kesan limpahan ekonomi sebanyak RM2 bilion dalam tempoh lima tahun, di samping mewujudkan lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu. Ini sekaligus menjadikan NAS sebagai salah satu ‘Needle Mover’utama dalam pelaksanaan Dasar 4IR Negara dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia.

Cabaran dan Pelan Anjakan

Pelaksanaan NAS bukannya tanpa cabaran. Keunikan landskap Malaysia dari kawasan perbandaran hingga ke rumah panjang dan rumah atas air menuntut pendekatan berbeza di setiap lokasi.

Bagi menangani kerencaman ini, MCMC akan melaksanakan Pelan Anjakan NAS bermula dengan projek perintis di lokasi-lokasi strategik. Projek ini akan menguji model pelaksanaan daripada segi tadbir urus, integrasi data dan teknikal sebelum NAS diluaskan secara nasional.

Lebih Daripada Sekadar Teknologi

“NAS bukan sekadar projek teknologi. Ia asas kepada transformasi menyeluruh negara dalam perkhidmatan awam, kesejahteraan rakyat, serta daya saing ekonomi kita,” kata Fahmi, menyeru agar semua pihak termasuk PBT, syarikat utiliti dan rakyat Malaysia bersama-sama menyokong pelaksanaan inisiatif ini.

Persidangan dua hari ini turut menampilkan pakar dari United Kingdom dan Australia, yang berkongsi pengalaman mereka dalam membangunkan sistem alamat digital yang berjaya di negara masing-masing.

Dengan pelaksanaan NAS, Malaysia sedang merintis jalan ke arah masa depan yang lebih pintar, tersusun dan efisien. Dalam dunia yang semakin bergantung kepada lokasi dan data masa nyata, sistem alamat yang seragam dan berpintar bukan lagi satu pilihan ia adalah keperluan. – SuaraTV

-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat