KUALA LUMPUR – Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sudah diperoleh polis dalam usaha mengesan suspek pembunuhan penuntut wanita sebuah universiti tempatan di Cyberjaya, Selangor, kelmarin.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, rakaman CCTV itu diperoleh daripada pelbagai sumber dan beberapa lokasi berhampiran.
“Rakaman itu akan digunakan untuk mengenal pasti suspek dan bagi mengecilkan lokasi di mana kemungkinan suspek berada,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan polis mengklasifikasikan kematian seorang penuntut sebuah universiti swasta di Cyberjaya, sebagai bunuh susulan kecederaan yang dialami mangsa, lapor Utusan.
Difahamkan, wanita berusia 20 tahun disahkan meninggal dunia kerana kecederaan di kepala yang disebabkan hentakan objek tumpul, namun tiada kesan rogol.
Sebelum itu, wanita berusia 20 tahun berasal dari Kuching, Sarawak dilaporkan ditemukan mati dipercayai dibunuh dalam bilik asramanya.