KUALA LUMPUR – Penjawat awam khususnya membabitkan kumpulan sokongan mampu menjimatkan perbelanjaan bulanan sehingga RM1,000 menerusi pembangunan projek Kota Madani.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, penjimatan itu berdasarkan pelbagai kos perbelanjaan yang terpaksa ditanggung penjawat awam berkenaan.
“Bayangkan realiti yang dihadapi oleh seorang pegawai kumpulan sokongan yang tidak dapat tempat di kuarters kerana tiada kekosongan, terpaksa sewa rumah di sekitar Putrajaya dengan lingkungan sewa sekitar RM1,200 ke RM1,500 ringgit, kos petrol hantar anak ke sekolah kemudian ke pejabat pula memerlukan lagi RM500.
“Dengan adanya Kota Madani ini, pegawai terbabit hanya duduk di kuarters dengan kos yang minimum, elaun rumah ditolak dan sara hidup (COLA) ditolak separuh, kurang lebih RM400 sahaja.
“Sekolah anak pun dekat, anak pergi dan balik sekolah dengan selamat kerana kita lengkapi dengan sistem keselamatan yang canggih, tak perlu risau lagi, kos petrol boleh dijimatkan. Saya anggarkan, pegawai terbabit boleh jimat sehingga RM1,000 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Pembangunan Kota Madani yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Presint 19 di Putrajaya lapor BH pada Khamis.
Dr Zaliha berkata, penjimatan itu boleh dijadikan sebagai simpanan masa depan.
“Inilah semangat sebenar Madani, dasar yang mendekati rakyat, bukan sekadar retorik,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, penerima manfaat kepada pembangunan Kota Madani itu adalah seramai 10,000 penjawat awam kerana kediaman yang akan dibina adalah rumah kuarters penjawat awam.
“Keperluan sebenar kuarters di Putrajaya adalah sebanyak 35,000 unit, namun ketika ini kita hanya ada 22,000 unit sahaja. Dengan permintaan yang tinggi kepada kuarters, di mana permohonan yang berada dalam senarai menunggu kuarters sekarang ini adalah seramai 17 ribu permohonan.
“Realitinya, jumlah kuarters ini kekal 22,000 unit sejak lebih 20 tahun lalu, tidak pernah meningkat dan tidak pernah diselesaikan oleh kerajaan terdahulu dan ini hanya terlaksana selepas 20 tahun di bawah Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri yang sentiasa memikirkan dan mengambil berat mengenai kebajikan penjawat awam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata projek pembangunan Kota Madani berupaya meringankan beban penjawat awam.
“Ini adalah satu projek yang amat baik untuk penjawat awam. Saya selaku ketua kepada penjawat awam merakamkan setinggi terima kasih kepada yang Perdana Menteri kerana bersetuju membina kuarters kakitangan awam,” katanya.