KUALA LUMPUR – Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya yang membenarkan rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menjelaskan penghakiman hari ini tidak dipengaruhi dengan pendapat luar.
Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim yang mengetuai panel berkata, perkara berkenaan dibangkitkan pendakwaan pada prosiding hujahan rayuan kes itu sebelum ini.
Beliau berkata, kenyataan itu agak nakal dan tidak perlu.
“Mahkamah tidak pernah melangkaui skop perbicaraan ini. Keputusan ini semata-mata berdasarkan rekod rayuan.
“Kami tidak pernah mengambil kira sebarang pendapat dari luar mahkamah kerana ia boleh menimbulkan fitnah terhadap cara mahkamah membuat keputusan.
“Keputusan mahkamah adalah berdasarkan sepenuhnya kepada rekod rayuan dan terhad kepada perbicaraan ini. Ini bagi orang yang tidak tahu macam mana mahkamah buat keputusan,” katanya lapor BH di Putrajaya pada Rabu.
Terdahulu, Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan Syed Saddiq daripada sabitan dan hukuman penjara tujuh tahun serta dua sebatan atas kesalahan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA).
Ahmad Zaidi yang bersidang bersama-sama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Noorin Badaruddin, sebulat suara membenarkan rayuan bekas Menteri Belia dan Sukan itu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman berkenaan.