KUALA LUMPUR – Kira-kira RM9 juta daripada dana sukuk diperuntuk bagi projek penyambungan Lebuhraya Maju (MEX II) dipercayai dibelanja dalam bentuk mata wang kripto.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata, dana dalam bentuk digital itu kemudiannya digunakan untuk pembelian tertentu.
“Ini perkembangan baharu. Kami dapati RM9 juta digunakan dalam bentuk mata wang digital, tidak dibelanjakan untuk projek MEX II.
“Kami kini sedang menjejaki bagaimana wang itu dikeluarkan dan bagaimana digunakan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.
Azam berkata SPRM telah mengambil keterangan daripada 55 saksi dan membekukan 14 akaun bank yang mengandungi sejumlah RM156 juta sebagai sebahagian daripada siasatan.
Beliau menambah bahawa lebih ramai individu akan dipanggil untuk disoal siasat.
“Saya arahkan pegawai saya menyiapkan kertas siasatan dalam tempoh dua bulan, kami mungkin dapat menyelesaikannya lebih awal,” katanya lapor FMT pada Rabu.
Ratusan juta ringgit dana sukuk disyaki disalurkan kepada syarikat milik seorang tokoh korporat bergelar ‘Tan Sri’, sebelum disalah guna untuk kepentingan peribadi dan bukan bagi projek lebuh raya seperti dimaksudkan.
Dana itu didakwa telah dipindahkan kepada beberapa entiti, termasuk syarikat proksi dan akaun peribadi isteri Tan Sri terbabit dan digunakan membeli hartanah, kenderaan dan barangan mewah, serta membiayai aktiviti perjudian.
SPRM telah merampas sebuah kondominium mewah dan sebidang tanah bernilai RM24.5 juta, serta sembilan kenderaan bernilai RM7.6 juta.
Agensi itu turut merampas jam tangan mewah bernilai kira-kira RM25 juta, beg tangan berjenama bernilai RM3 juta, barang kemas dan berlian bernilai RM6 juta, empat ekor kuda bernilai RM400,000, serta minuman keras premium bernilai RM3 juta.
Tokoh korporat itu telah disoal siasat oleh SPRM. Azam sebelum ini mengesahkan beliau suspek utama dalam siasatan agensi itu.
Azam berkata tiada keperluan buat masa ini untuk memanggil semula tokoh korporat berkenaan.
“Pegawai saya berpuas hati dengan kenyataan awal yang telah dirakamkan. Kami kini sedang melengkapkan kertas siasatan dan akan mengambil kenyataan rasmi daripada pihak bank terlibat,” katanya.
Mengulas laporan sebelum ini bahawa RM20 juta dana sukuk projek itu dibelanjakan untuk perjudian, Azam berkata jumlah sebenar kemungkinan lebih tinggi daripada itu.
“Saya sendiri kurang faham tentang aspek perjudian tetapi pegawai penyiasat saya memaklumkan ia melibatkan kasino dan sebagainya,” katanya.