KUALA LUMPUR – Polis menyerbu sebuah premis di Bandar Puteri Puchong, di Serdang yang dijadikan sebagai pusat panggilan ‘scammer’ dengan 10 ditahan disyaki terbabit penipuan pelaburan.
Serbuan dilakukan Jumaat lalu melalui Op Nuri, dengan antara turut ditahan lelaki berusia 38 tahun yang disyaki dalang kegiatan haram yang dipercayai beroperasi sejak enam bulan lalu dan mencuri hampir RM400,000 daripada mangsa.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, sindiket menggunakan nama platform Corsa Futures Sdn Bhd dan Delta Futures Sdn Bhd yang sudah disenaraikan dalam senarai peringatan pelabur oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat kira-kira 2,500 klien berdaftar di dalam aplikasi pelaburan palsu berkenaan dengan kebanyakannya warga tempatan, selain warga asing dari Indonesia, India dan Bhutan.
Siasatan awal mendapati sindiket terbabit memberikan pulangan bagi setiap pelaburan awal supaya mangsa mula melabur dengan jumlah lebih besar.
“Semua suspek yang ditahan dalam serbuan ini memainkan peranan berbeza termasuk penyelia, pengurus operasi, pentadbir aplikasi, pereka platform, perkhidmatan pelanggan, penganalisis pasaran dan kerani syarikat.
“Setakat ini di Selangor terdapat empat laporan membabitkan sindiket terbabit iaitu di Petaling Jaya, Ampang Jaya, Serdang dan Gombak.
“Hasil serbuan Jumaat lalu, kita merampas tiga monitor, dua set komputer, enam komputer riba, 14 telefon bimbit pelbagai jenis dan dan modem internet,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang, lapor BH pada Isnin.
Terdahulu, semua tujuh suspek termasuk tiga wanita ditahan semula ditahan semula oleh IPD Ampang Jaya bagi membolehkan siasatan berhubung laporan di daerah itu dijalankan.
Sebelum ini, mereka yang berusia antara 21 hingga 38 tahun itu direman sehari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.