CYBERJAYA – Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan rasa dukacita yang mendalam susulan tragedi menyayat hati membabitkan pesawat Air India Penerbangan 171 yang terhempas berhampiran Ahmedabad, India, hari ini.
Dalam satu kenyataan melalui Facebook, Anwar turut menyampaikan ucapan takziah mewakili kerajaan dan rakyat Malaysia kepada keluarga mangsa serta pihak yang terkesan akibat insiden berkenaan.
“Saya amat dukacita apabila menerima berita mengenai nahas tragis pesawat Air India Penerbangan 171 yang terhempas berhampiran Ahmedabad. Kami turut bersedih atas kehilangan yang dialami oleh India, dan menyatakan solidariti penuh ketika usaha bantuan sedang dijalankan,” katanya.
“Doa dan ingatan kami sentiasa bersama mangsa serta semua yang sedang meratapi kehilangan ini,” tambah beliau.
Menurut laporan media antarabangsa, pesawat tersebut yang membawa 242 penumpang dan kru sedang dalam perjalanan ke London apabila ia terhempas sejurus berlepas dari Ahmedabad. Nahas berlaku di kawasan awam, berhampiran sebuah bangunan kediaman.
Menteri Kesihatan India dalam kenyataan awal memaklumkan bahawa ramai terkorban, sementara anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) mengesahkan sekurang-kurangnya 30 mayat telah ditemui di dalam sebuah bangunan yang terkena hentaman pesawat.
“Pesawat itu terhempas ke atas sebuah bangunan asrama doktor,” kata seorang pegawai kanan polis kepada media tempatan.
Air India mengesahkan pesawat terbabit dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Gatwick, United Kingdom, sebelum insiden tragis itu berlaku.
Setakat ini, usaha menyelamat masih dijalankan, dengan pasukan SAR dan pihak berkuasa India bergelut untuk menyelamatkan mangsa yang masih terperangkap di lokasi kejadian.