Hanya individu berniat jahat, semai perpecahan saja dilarang masuk Sarawak, Rafizi diberitahu

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Seorang menteri Sarawak mengkritik Datuk Seri Rafizi Ramli kerana membayangkan beliau mungkin sekali lagi disekat memasuki negeri itu sekiranya kalah pemilihan jawatan Timbalan Presiden PKR dan tidak lagi bergelar menteri.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menganggap kenyataan Rafizi itu sebagai tidak manis.

“Kita mempunyai hubungan baik dengan Pakatan Harapan (PH) dan PKR pada peringkat persekutuan, dan bersama-sama dalam kerajaan perpaduan,” kata pemimpin Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu, memetik laporan FMT, pada Jumaat.

Karim yang juga Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menegaskan Kerajaan Sarawak yang mempunyai autonomi dalam isu imigresen, sentiasa menggunakan haknya untuk melarang kemasukan ke negeri itu secara bertanggungjawab.

Katanya, hanya individu yang berniat jahat –khususnya untuk menyemai perpecahan melalui perselisihan bangsa dan agama – akan dilarang memasuki Sarawak.

“Jika Rafizi bukan lagi menteri dan menjaga perlakuan apabila berada di Sarawak, sudah pasti kami tidak akan menghalangnya,” kata Karim.

Dari 2013 hingga 2018, kerajaan Sarawak melarang Rafizi dan pemimpin PH lain memasuki negeri itu.

Larangan itu kemudian disemak semula selepas PH membentuk kerajaan persekutuan pada 2018.

Dalam majlis berkaitan kempen pilihan raya PKR pada Sabtu, Rafizi membayangkan beliau mungkin disekat memasuki Sarawak sekiranya tiada lagi jawatan dalam kerajaan dan parti.

Menteri Ekonomi itu sebelum ini berkata akan melepaskan jawatan menteri dan timbalan presiden parti sekiranya kalah kepada pencabarnya, Nurul Izzah Anwar, dalam pemilihan PKR yang akan diadakan hari ini.

Pada Ahad, Menteri Dalam Negeri yang juga rakannya dalam PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegur kenyataan Rafizi itu dengan mengingatkan bahawa Sarawak adalah rakan strategik Kerajaan Persekutuan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat