Sabah berkabung sehari pemergian Tun Ahmadshah, bendera negeri dikibar separuh tiang

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Kerajaan Sabah mengisytiharkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari dengan bendera negeri dikibarkan separuh tiang sebagai tanda penghormatan atas pemergian bekas Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Ahmadshah Abdullah.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong dalam kenyataan memaklumkan, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 8.45 malam Selasa.

“Kerajaan negeri mengumumkan tempoh berkabung rasmi selama satu hari dan bendera negeri Sabah dikibarkan separuh tiang selama tempoh tersebut,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu pada Rabu.

Sementara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, menyifatkan jasa Allahyarham sebagai amat besar kepada negeri ini.

Beliau turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga susulan pemergian Allahyarham yang meninggal dunia di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu.

“Bagi pihak keluarga saya dan kerajaan negeri, saya merakamkan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham Tun.

“Jasa Tun kepada Sabah amat besar kepada negeri ini, terutama ketika berkhidmat sebagai penjawat awam. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” katanya.

Bekas Ketua Menteri merangkap Presiden Parti Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal turut menyampaikan ucapan takziah dan menyatakan kesedihannya atas pemergian Tun Ahmadshah.

“Tun Ahmadshah bukan sahaja seorang pemimpin yang dihormati tetapi juga penjawat awam yang banyak berjasa kepada Sabah. Sumbangan Allahyarham dalam perkhidmatan awam dan dunia pendidikan sangat besar dan akan terus dikenang.

“Bagi pihak saya dan Parti Warisan, saya ucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin,” katanya.

Tun Ahmadshah dilahirkan pada 9 Disember 1946 dan dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah yang kesembilan iaitu dari tahun 2003 hingga 2010.

Allahyarham pernah memegang jawatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum bersara pada Disember 2002.

Selain itu, Allahyarham juga pernah memegang jawatan lain, antaranya Pengarah Perjawatan Negeri Sabah, Ketua (Bahagian Hal Ehwal Dalaman dan Penyelidikan) Jabatan Ketua Menteri Sabah serta Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah.

Allahyarham yang dilahirkan di Kampung Inanam, di sini pada 9 Disember 1946 meninggalkan empat anak manakala isterinya, Toh Puan Dayang Masuyah Awang Japar meninggal dunia pada 2020.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat