KUALA LUMPUR – Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu membentangkan Memorandum Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2025 bagi pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Kabinet hari ini.
Jelas beliau, pindaan ini amat penting untuk memastikan kelestarian sumber laut negara dan kemampanan industri perikanan, yang menjadi salah satu tunjang kepada keterjaminan makanan negara.
“Pagi ini Bang Mat menghadiri Mesyuarat Jemaah Menteri yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Dalam mesyuarat tersebut, Bang Mat telah membentangkan Memorandum Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2025 bagi pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Pindaan ini amat penting untuk memastikan kelestarian sumber laut negara dan kemampanan industri perikanan, yang menjadi salah satu tunjang kepada keterjaminan makanan negara.
“Bang Mat turut memperincikan setiap cadangan pindaan yang dirangka bagi menambah baik aspek pemantauan, penguatkuasaan, serta perlindungan terhadap ekosistem marin kita.
“Yang lebih utama, kita mahu pastikan undang-undang ini bukan sahaja melindungi khazanah laut negara, tetapi juga menjamin kebajikan nelayan serta semua pihak berkepentingan dalam sektor perikanan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut beliau, KPKM komited untuk terus memperkukuh dasar dan perundangan demi menjamin bekalan makanan negara sentiasa mencukupi, melindungi pemain industri agromakanan, khususnya para nelayan dan juga memelihara kelestarian sumber semula jadi negara untuk generasi akan datang.
Kata beliau, langkah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memastikan masa depan industri perikanan negara terus mampan dan berdaya saing.