KUALA LUMPUR– Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi koperasi yang berdaya tahan dan berwibawa apabila mencatatkan prestasi yang semakin memberangsangkan.
Pengerusi KPF Datuk Mohd Banuri Aris memberitahu, pihaknya optimis pendekatan rasionalisasi yang dirangka secara berperingkat, serta pemerkasaan struktur pentadbiran dalaman telah membina semula asas kewangan yang kukuh bagi KPF.
Beliau berkata usaha menyeluruh yang dilaksanakan sejak beberapa tahun lalu kini mula menunjukkan hasil yang positif, sejajar dengan aspirasi untuk mengembalikan semula keyakinan anggota dan memperkukuh kedudukan kewangan koperasi.
“Strategi pemantapan terancang dan penambahbaikan berterusan mengambil pendekatan holistik, KPF melaksanakan pelan rasionalisasi aset pelaburan yang berteraskan kepada tiga langkah utama yakni penjualan aset perladangan tertentu yang dijangka selesai menjelang suku keempat 2025.
“Selain itu pelupusan hartanah yang tidak memberikan pulangan mampan dan penstrukturan semula pegangan dalam syarikat bersekutu.
“Langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk menjana semula aliran tunai tetapi juga membuka laluan kepada model perniagaan yang lebih lestari serta berdaya saing dalam jangka panjang.
“Tumpuan kami bukan sekadar menyelesaikan isu semasa, tetapi membina masa depan yang lebih cerah untuk anggota,” kata Banuri.
Beliau turut memberitahu keutamaan kepada kebajikan anggota dengan melaksanakan pengeluaran syer diurus secara berfasa.
“Walaupun berdepan permintaan tinggi terhadap pengeluaran syer, KPF tetap komited dalam memenuhi tanggungjawabnya kepada anggota. Bagi tempoh tahun 2022 hingga April 2025, pihaknya telah menerima sejumlah 29,159 permohonan pengeluaran syer dengan nilai keseluruhan mencecah RM691.58 juta.
“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18,783 permohonan melibatkan nilai RM319.44 juta telah berjaya diproses dan dibayar kepada anggota mencerminkan kesungguhan KPF dalam menunaikan amanah secara bertanggungjawab.
“Permohonan yang masih dalam proses, melibatkan RM372.13 juta melibatkan 10,376 permohonan, akan terus diselesaikan secara berfasa dan penggiliran, dengan keutamaan diberikan kepada kes kritikal seperti perubatan, haji dan umrah serta pendidikan.
“Kami menguruskan pembayaran dengan teliti berdasarkan keutamaan, bagi memastikan kebajikan anggota sentiasa menjadi fokus utama,” katanya lagi.
Mengulas lanjut Banuri memberitahu kecekapan tadbir urus dan sokongan Felda terutama pengerusinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjadi pemangkin kepada KPF atas kepercayaan dan kerjasama strategik yang diberikan.
“Pelantikan KPF sebagai ejen tunggal pembelian Buah Tandan Segar (BTS) dan pengurusan Pusat Mengumpul Sawit (PMS) membuktikan keyakinan Felda terhadap
peranan KPF dalam ekosistem pembangunan komuniti peneroka.
“Lebih penting, KPF berjaya mengekalkan prestasi kewangan yang stabil, tanpa mencatatkan kerugian sejak penubuhannya pada tahun 1980 bukti keupayaan pengurusan dan asas ekonomi yang kukuh.
“Saya mengajak seluruh anggota untuk terus memberikan sokongan padu dalam agenda pemulihan koperasi.
“Sokongan tidak berbelah bahagi daripada para anggota khususnya peneroka yang setia bersama KPF sejak awal adalah nadi kekuatan kami.
“Kita akan bangkit bersama untuk masa depan yang lebih gemilang,” katanya.



