KUALA LUMPUR – Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 4.4 peratus pada suku pertama 2025, sedikit perlahan berbanding 4.9 peratus pada suku keempat 2024.
Ia adalah sejajar dengan jangkaan pakar ekonomi yang sebelum ini meramalkan penyederhanaan pertumbuhan ekoran kelembapan dalam sektor perlombongan dan pembuatan.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata, ia didorong terutamanya oleh pengembangan permintaan dalam negeri yang stabil.
Menurutnya, sebagai sebuah ekonomi yang kecil dan terbuka, Malaysia tidak dapat mengelak daripada terkesan secara langsung atau tidak langsung tarif perdagangan.
Namun beliau memberitahu, perbelanjaan isi rumah kekal kukuh disebabkan pasaran buruh yang positif dan pelaksanaan dasar berkaitan pendapatan seperti semakan gaji minimum serta kenaikan gaji penjawat awam.
Malah pelaburan juga kekal stabil sejajar dengan pelaksanaan projek-projek baharu dan sedia ada.
Bagaimanapun, kata beliau, sektor luaran mencatatkan pertumbuhan eksport yang lebih perlahan, dipengaruhi penurunan eksport perlombongan.
“Keadaan ini sebahagiannya diimbangi eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih kukuh berikutan aktiviti eksport yang dipercepat (front-loading activities) dan aktiviti pelancongan yang terus meningkat.
“Pada masa yang sama, pertumbuhan import, meskipun lebih sederhana, terus didorong oleh permintaan yang kukuh untuk barangan modal. Hal ini mencerminkan aktiviti pelaburan dan perdagangan yang berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media mengumumkan prestasi ekonomi negara pada suku pertama 2025, pada Jumaat.
Namun begitu, Abdul Rasheed berpendapat, penjualan dan pengeluaran kenderaan bermotor yang kembali menurun selepas prestasi yang kukuh sepanjang tiga tahun yang lalu memberikan kesan terhadap pertumbuhan sektor perkhidmatan dan perkilangan.
Menurutnya, secara keseluruhan, pertumbuhan turut terjejas oleh penguncupan dalam sektor perlombongan berikutan pengeluaran minyak dan gas yang lebih rendah.
Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 0.7 peratus (S4 2024: -0.2 peratus).
Bagaimanapun, KDNK Malaysia yang disemak semula dijangka diumum dalam tempoh satu hingga dua bulan
Gabenor BNM menjelaskan, unjuran baharu hanya akan dimuktamadkan selepas pihaknya memperoleh lebih kepastian mengenai dasar tarif Amerika Syarikat (AS) serta hasil rundingan perdagangan antara Malaysia dan ekonomi terbesar dunia itu.
“Walaupun kami mempunyai pandangan dalaman terhadap unjuran KDNK, rundingan perdagangan masih berjalan dan hasilnya masih belum menentu. Semua ini boleh memberi kesan terhadap prospek ekonomi BNM. Kami akan muktamadkan unjuran baharu dalam satu hingga dua bulan ini,” katanya.
Untuk rekod, tarif timbal balas AS ke atas beberapa negara termasuk Malaysia telah ditangguhkan selama 90 hari, bermula 9 April hingga 8 Julai ini.
“Beberapa data masih perlu dikaji, termasuk keperluan mendapatkan kejelasan lanjut berhubung hasil rundingan semasa. Kami baru sahaja membuat unjuran pertumbuhan dan telah meletakkan andaian yang agak konservatif terhadap tarif AS.
“Namun, pengumuman tarif timbal balas tersebut berlaku di luar jangkaan,” ujar beliau.
Beliau turut menegaskan bahawa BNM memerlukan lebih banyak maklumat dan data sebelum boleh memuktamadkan sebarang unjuran baharu.
Sebelum ini, unjuran pertumbuhan KDNK BNM bagi tahun 2025 berada dalam julat 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.
Sementara itu, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menyemak turun unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia bagi tahun ini kepada 4.1 peratus, berbanding 4.7 peratus sebelum ini, selari dengan penyusutan unjuran pertumbuhan ekonomi di seluruh rantau ini.
Bank Dunia pula mengurangkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 3.9 peratus, daripada 4.5 peratus sebelum ini, sejajar dengan perkembangan semasa yang turut melibatkan perang perdagangan global.



