KUALA LUMPUR – Slogan ‘Sabah for Sabahan’ suatu bentuk semangat patriotik untuk memupuk semangat perpaduan.
Ketua Pakatan Harapan (PH) Sabah Datuk Ewon Benedick menegaskan aspirasi tempatan harus menjadi asas kepada perundingan gabungan besar politik di Sabah.
Ewon yang juga presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) menegaskan beliau tiada sebarang masalah dengan apa-apa slogan.
“Saya tidak melihat sebarang masalah dengan slogan ‘Sabah for Sabahan’ (Sabah untuk rakyat Sabah), ‘Sabah First’ (Sabah Didahulukan), ‘Sabah Rumah Kita’ atau apa-apa tema lain yang digunakan oleh rakyat Sabah,” katanya lapor Utusan Borneo.
Ewon bagaimanapun lebih cenderung untuk melihat keberkesanan kerjasama parti-parti politik dalam menyelesaikan masalah rakyat.
“Sekuat manapun slogan itu, kalau masalah asas rakyat masih belum dapat diselesaikan selepas berpuluh tahun, maka ianya kekal slogan,” katanya.
Pada 12 Mei lalu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, dilapor berkata sentimen ‘Sabah for Sabahan’ yang diketengahkan pihak tertentu menjelang PRN Sabah bersifat memecahbelahkan.
Naib Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Seri Jeffrey Kitingan, membidas Zahid dengan berkata kenyataan itu mengabaikan sejarah dan mengetepikan kehendak politik sah rakyat Sabah.