KUALA LUMPUR- Masih ada keperluan untuk Umno bekerjasama dengan DAP dalam Kerajaan Perpaduan bagi memantau tindakan parti itu yang bertentangan dengan bangsa Melayu dan agama Islam.
Veteran Umno Datuk Mustapha Yaakub percaya, usaha tersebut akan dinilai ahli-ahli parti meskipun masih ada kelompok yang tidak menerima kerjasama tersebut sehingga kini.
“Bayangkan jika Umno tiada dalam Kerajaan Perpaduan, apa akan jadi? Sekurang-kurangnya kita boleh memantau setiap apa yang ingin dilakukan DAP. Jika ada perkara yang bertentangan dengan orang Melayu dan Islam, sudah pasti Umno akan bertindak.
“Kita bukan kuda tunggangan atau barua DAP, walaupun kita bekerjasama tetapi kita tidak pernah menggadaikan maruan dan prinsip perjuangan Umno untuk orang Melayu dan Islam,” lapor Utusan pada Khamis.
Kelmarin, Mursyidul Am Pas Datuk Hashim Jasin berkata, Pas sentiasa terbuka dan tidak pernah menutup sebarang pintu rundingan bekerjasama dengan Umno, tetapi bersyarat iaitu perlu meninggalkan DAP.
Katanya, Pas tidak pernah menolak bekerjasama dengan Umno khususnya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), selain mahu bersama Bersatu.
Mustapha mengakui, Umno sehingga hari ini menerima kesan bersama DAP dalam Kerajaan Perpaduan disebabkan penolakan sebahagian ahli parti.
“Memang ada..(tidak terima kerjasama dengan DAP), ada suara-suara yang tidak bersetuju dan tidak puas hati dengan kerjasama yang dijalin. Itu hakikat yang kita tidak boleh nafikan. Walaupun tidak serumit dulu untuk kita memberi kefahaman kepada mereka, namun perkara itu masih berlaku sehingga hari ini.
“Ini kerana, perkara yang difokuskan adalah DAP sedangkan kita bekerjasama bukan bersama DAP semata-mata, tetapi kerjasama Barisan Nasional (BN) ini bersama PH. Benar, dulunya kita `No Anwar No DAP’, tetapi sekarang bila keadaan mula reda, ada pula pihak yang mula membakar api kemarahan dengan sentimen UMDAP pula.
“Ia menyebabkan pemikiran ahli Umno dan orang Melayu khususnya dalam keadaan yang tidak menentu dan keliru,” katanya.



