Nazir Lep dan Farik Amin tidak boleh laksana umrah, haji dalam tempoh 5 tahun – KPN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Dua suspek pengganas warga Malaysia yang dihantar pulang selepas hampir dua dekad ditahan di Teluk Guantanamo di Cuba, dikenakan larangan perjalanan selama 5 tahun.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, larangan itu dikenakan ke atas Nazir Lep dan Farik Amin, yang mengaku bersalah pada tahun lalu atas peranan mereka dalam insiden pengeboman Bali yang membunuh lebih 200 orang pada 2002.

Katanya, tindakan itu sebahagian daripada persetujuan dengan kerajaan supaya mereka kekal dalam negara selama 5 tahun, termasuk tidak boleh melaksanakan umrah dan haji.

Tiada sekatan untuk perjalanan dalam negara, namun mereka dinasihatkan untuk memberitahu polis yang memantau mereka berkenaan lokasi mereka untuk tujuan keselamatan,” katanya kepada portal TwentyTwo13 lapor BH pada Khamis.

Nazir dan Farik masing-masing dijatuhkan hukuman penjara lima tahun oleh mahkamah tentera Amerika Syarikat (AS) pada Januari 2023 selepas mengaku salah terhadap lima pertuduhan berkaitan pembabitan mereka ketika serangan di Bali.

Sebagai sebahagian daripada perjanjian pengakuan bersalah, mereka bersetuju untuk memberi keterangan terhadap suspek utama, Encep Nurjaman atau lebih dikenali sebagai Hambali sebelum dibenarkan pulang ke Malaysia pada Disember lalu.

Portal itu juga melaporkan penghantaran pulang mereka dilakukan secara senyap, dengan peguam mereka hanya dimaklumkan di saat akhir.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan memaklumkan kerajaan sudah merangka program pemulihan komprehensif untuk kedua-dua individu terbabit, merangkumi perkhidmatan sokongan sosial, bantuan kebajikan serta saringan kesihatan.

Bagi menyokong proses itu, satu mekanisme pemantauan turut diwujudkan melalui lawatan berkala oleh pihak polis.

Langkah itu bertujuan membantu mereka membina semula kehidupan serta mencegah pembabitan semula dalam sebarang kegiatan berkaitan keganasan.

Sementara itu, Razaruddin berkata kedua-dua lelaki itu sedang memberi tumpuan pada usaha membina semula kehidupan dengan keluarga terdekat.

“Nazir menanam cili dan menternak ayam dan kambing sebagai sebahagian projek yang dimulakan ahli keluarganya,” katanya.

Sementara Farik menjaga ibu bapanya yang sudah tua, masing-masing berusia 83 tahun dan 89 tahun.

Nazir, Farik dan Hambali ditahan di Thailand pada 2003 dan kemudiannya dibawa ke lokasi tahanan rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke pusat tahanan Guantanamo Bay pada 2006.

Laporan Senat AS pada 2014 mendedahkan ketiga-tiga mereka diseksa ketika dalam tahanan rahsia.

Nazir dan Farik sebelum ini sering dikaitkan dengan Hambali sehinggalah kes mereka dipisahkan pada 2023, sekali gus membuka laluan kepada perjanjian pengakuan bersalah.

Pemindahan mereka menjadikan jumlah tahanan yang masih berada di Guantanamo Bay berkurang kepada 27 orang, menurut Pentagon.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat