Malaysia tak tunduk tekanan, AS mungkin kurangkan tarif timbal balik – PM

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak memilih jalan mudah bahkan tidak sesekali menyerah kepada tekanan susulan keputusan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif import yang tak terduga ini sekali gus menggugat sistem perdagangan dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi Mesyuarat Khas Parlimen pada Isnin menegaskan, Malaysia memilih untuk berunding secara berprinsip demi mempertahankan pekerjaan rakyat, pelaburan masa hadapan dan kedaulatan ekonomi negara.

Tegas beliau, inilah erti kepimpinan sebenar, bukan dengan retorik, tetapi dengan keputusan strategik yang berani dan berpaksikan kepentingan negara.

“Dengan izin Allah dan sokongan rakyat, Malaysia akan terus melangkah gagah sebagai negara yang bermaruah, berdaya saing dan progresif di pentas dunia.

“Satu hal yang ingin saya tegaskan bahawa, kita mengharungi kekacauan ini dengan asas ekonomi yang kukuh, dan meyakini bahawa Malaysia mampu mendepani situasi ini secara terurus.

“Reformasi struktur yang dilaksanakan di bawah kerangka Ekonomi Madani membantu negara untuk lebih berdaya tahan dan siap siaga mendepani ketidaktentuan ekonomi global,” tegas Anwar yang juga Menteri Kewangan.

Dalam pada itu, selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, beliau telah meneruskan perbincangan dengan semua rakan-rakan sejawat ASEAN mulai 28 April 2025.

“Rakan-rakan ASEAN juga telah menyatakan dukungan penuh kepada Malaysia untuk membentuk suara kolektif dan kebersamaan ASEAN sebagai sebuah blok ekonomi yang besar dalam mengadakan rundingan bersama Amerika Syarikat.

“ASEAN meliputi kekuatan ekonomi berjumlah 4 trilion dolar pada tahun 2024 dengan jumlah penduduk mencecah seramai 640 juta orang.

“Sebarang pendirian terhadap tarif Amerika Syarikat perlu diambil secara bersama sebagai sebuah blok ASEAN yang menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan strategik kita.

“Ini selaras dengan semangat yang diungkapkan oleh Amartya Sen: “Globalization is not a monologue. It must be a conversation among equals” ujar beliau.

Mengulas lanjut Anwar berkata, meskipun ini merupakan perbincangan awalan, namun beliau ingin menekankan bahawa, Kerajaan Amerika Syarikat bersetuju untuk berunding dengan lebih lanjut dengan Malaysia dan terdapat kemungkinan untuk mengurangkan tarif timbal balik yang dikenakan.

“Sekali lagi ditegaskan bahawa proses ini masih berada pada peringkat awal, tanpa sebarang persetujuan dimuktamadkan oleh kedua-dua pihak.

“Selain daripada langkah segera yang telah diambil, kita harus mengatur langkah dalam berdepan dengan senario global semasa.

“Sehubungan itu, Kerajaan Madani bercadang untuk mengatur strategi untuk memastikan kestabilan ekonomi serta mempertahankan kepentingan negara untuk jangka masa pendek dan sederhana,” tegas beliau lagi.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat