Suspek utama kes bunuh Cyberjaya ada kad akses, kunci rumah, pernah bermalam – Ketua Polis Selangor

- Advertisement -

KUALA LUMPUR – Suspek utama yang disyaki membunuh penuntut universiti swasta di sebuah kondominium di Cyberjaya, dipercayai pernah beberapa kali bermalam bersama kekasihnya di rumah berkenaan.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, berdasarkan siasatan, rakan serumah mangsa yang juga kekasih suspek utama menyerahkan kad akses dan kunci rumah berkenaan kepada lelaki terbabit untuk tinggal di kondominium itu sebelum kejadian.

“Polis mendapati, kes ini lebih kepada suspek mengambil kesempatan ke atas mangsa yang tinggal seorang diri di rumah terbabit. Suspek memang ada niat tidak baik ke atas mangsa.

“Suspek berada di rumah itu dengan kad akses dan kunci yang diberikan oleh teman wanitanya yang balik kampung selepas tempoh peperiksaan.

“Jadi, dalam keadaan itu, suspek yang mempunyai niat ‘tidak baik’ mengambil kesempatan ke atas mangsa dengan memukul dengan menggunakan objek sehingga menyebabkan kematian mangsa serta melakukan samun.

“Sebelum itu pun, suspek ada bermalam di rumah itu bersama kekasihnya. Pada malam itu, ketika suspek tinggal di bilik itu, dia terserempak dengan mangsa, ketika itulah berlaku kejadian terbabit sehingga menyebabkan kematian mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di Shah Alam lapor Harian Metro pada Selasa.

Hussein berkata, suspek utama adalah antara empat suspek yang ditahan reman dalam tempoh 48 jam selepas kejadian. Dia ditahan bersama tiga suspek wanita, termasuk teman wanitanya.

“Siasatan mendapati, suspek utama berumur 20 tahun dan tidak mempunyai pekerjaan tetap.

“(Daripada tiga perempuan yang direman) seorang adalah rakan rumah mangsa yang juga teman wanita suspek. Manakala dua lagi tinggal di tingkat atas kondominium berkenaan. Mereka ini boleh membantu polis untuk melengkapkan siasatan.

“Reman kesemua tamat pada 3 dan 4 Julai ini, ia akan disambung untuk siasat lanjut,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan melengkapkan kertas siasatan dalam masa terdekat sebelum merujuknya kepada Timbalan Pendakwa Raya.

Media sebelum ini melaporkan, mangsa yang berusia 20 tahun ditemukan maut di unit kondominiumnya di Cyberjaya oleh seorang rakan, jam 10 pagi.

Mangsa yang juga penuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Fisioterapi dilaporkan tinggal seorang diri selepas lima rakan serumahnya pulang bercuti sejak 21 Jun lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

author avatar
Janatul Firdaus Yaacob
-- Iklan --
-- Iklan --

Related Articles

Stay Connected

474,121FansLike
25,100FollowersFollow
230,282FollowersFollow
27,197FollowersFollow
15,189SubscribersSubscribe

Topik Hangat