KUALA LUMPUR – Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah (JHEAIK) sudah mengambil keterangan daripada seorang pendakwah terkenal semalam berhubung penularan video berkaitan solat Jumaat seorang ulama bersama bunian.
Pengarahnya Datuk Abd Ghani Zainudin, berkata proses berkenaan dijalankan di pejabat jabatan itu di sini, kira-kira jam 10 pagi yang dikendalikan Timbalan Pengarahnya Datuk Syeikh Ismi Anuar Abdul Halim.
Katanya, pendakwah terbabit hadir secara bersemuka bagi memberi keterangan lanjut berhubung kenyataannya yang menjadi perhatian umum baru-baru ini.
“Siasatan awal mendapati pendakwah terbabit mengakui mengeluarkan kenyataan itu pada satu majlis 11 November 2023. Proses mengambil keterangan berjalan lancar dan kertas siasatan kini sudah disiapkan.
“Pihak kami akan menyerahkan laporan lengkap itu kepada Jabatan Mufti Negeri Kedah untuk siasatan dan penelitian selanjutnya,” lapor BH di Alor Setar pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan JHEAIK memulakan siasatan terhadap video terbabit susulan aduan dan maklum balas daripada orang ramai yang mempersoalkan kandungan ceramah itu.
Kenyataan itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang mempertikaikan kesahihan dan kewajaran dakwaan berkenaan, apatah lagi ia membabitkan ibadah utama dalam Islam.
Abd Ghani berkata, keputusan mengenai sebarang bentuk tindakan atau langkah susulan akan ditentukan pihak Jabatan Mufti berdasarkan hasil siasatan dan pertimbangan jabatan berkenaan.
“JHEAIK menasihatkan semua pendakwah supaya lebih berhati-hati dalam menyampaikan ceramah, khususnya kenyataan berkaitan perkara ghaib yang tidak dapat dibuktikan dan boleh mengundang kekeliruan dalam kalangan umat Islam,” katanya.