KUALA LUMPUR — Barisan Nasional (BN) optimis dan yakin akan memperoleh kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning hari ini.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, keyakinan itu berdasarkan kesinambungan prestasi kerja yang baik Allahyarham Ishsam Shahruddin sebelum ini.
“Insya-Allah melihat kepada jentera kita usaha kuat dari mula dan ini adalah kesinambungan Allahyarham YB Ishsam yang telah menunjukkan kerja yang baik.
“Saya percaya pengundi di Ayer Kuning akan memilih calon daripada BN.
“Ia akan memudahkan wakil rakyat yang dipilih nanti untuk menyampaikan masalah-masalah mereka kepada Kerajaan Negeri,” katanya selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2025 anjuran Persatuan Anak-Anak Pahang (PEKAP) di Dewan Perdana Felda malam tadi.
Wan Rosdy yang turut turun padang berkempen di Ayer Kuning itu melihat ‘mood’ pengundi di kawasan tersebut amat positif dan komited untuk bersama sama dengan kerajaan hari ini.
“Jentera kita pun bekerja kuat. Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada jentera parti.
“Sebaik sahaja ketiadaan Allahyarham Ishsam, jentera kita telah pun turun kepada untuk memastikan pengundi-pengundi mendapat maklumat betul dan memastikan rakyat tidak dikelirukan oleh persepsi dan mainan pihak pembangkang,” katanya.