WASHINGTON – Pengulas konservatif Amerika Syarikat (AS) Bill O’Reilly sekali lagi mengeluarkan kenyataan kontroversi ‘menyerang’ Malaysia.
Terbaharu, pengacara berusia 75 tahun itu mengkritik Malaysia sebagai negara miskin dan menuduh rakyatnya tidak cukup makan, lapor portal berita 8 days.
Beliau turut membandingkan pendapatan isi rumah di Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dalam podcast terbaharu bertajuk No Spin News.
Menurutnya, statistik pendapatan per kapita isi rumah Malaysia ialah AS$5,731 (RM25,061) setahun, manakala AS mencatatkan AS$42,220 (RM184,628).
O’Reilly mendakwa, pendapatan kecil itu menyukarkan rakyat Malaysia untuk membeli sekali pun topi kecil dari China.
“Jadi, jika anda mahu membeli topi kecil sekali pun anda tidak mampu kerana anda mempunyai pendapatan cuma AS$5,731 setahun.
“Anda juga tidak makan,” kata O’Reilly dalam klip video terbarunya yang disiarkan di YouTube, lapor Utusan.
Sebelum ini, Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim membidas kenyataan O’Reilly yang mendakwa Asia Tenggara tiada wang, selain menyifatkan ia sebagai pandangan angkuh dan jahil.
Anwar turut menyifatkan kenyataan itu bukan sahaja menunjukkan kejahilan O’Reilly terhadap realiti semasa Asia Tenggara, malah mencerminkan pemikiran sempit yang dipengaruhi sentimen perkauman dan ideologi penjajah.
Membidas kembali kenyataan Anwar, O’Reilly mengaku dirinya adalah seorang penjajah.