KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia mengadakan perbincangan secara menyeluruh mengenai pelbagai isu semasa dan bidang kerjasama yang penting termasuk dalam sektor industri halal, kebajikan nelayan, pendidikan tinggi serta keprihatinan bersama terhadap isu kemanusiaan di Gaza.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi berkata pertemuan selama kira-kira 1 jam 45 minit ini membuka ruang yang cukup bermakna untuk memperkukuh lagi ikatan persaudaraan dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“Kunjungan hormat saya ke atas Presiden Republik Indonesia Prabowo Subianto di Istana Merdeka, Jakarta menjadi agenda penutup lawatan rasmi saya selama tiga hari ke Indonesia.
“Antara hasil positif daripada pertemuan ini adalah kesepakatan awal supaya sijil dan logo halal JAKIM terus diiktiraf bagi produk halal Malaysia yang dieksport ke Indonesia, tanpa keperluan prosedur operasi standard (SOP) baharu.
“Ini adalah suatu pengiktirafan terhadap sistem pensijilan halal Malaysia yang telah mendapat kepercayaan dan pengiktirafan global,” kongsi Zahid di Facebooknya pada rABU.
Presiden Umno itu turut diiringi oleh Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin dan lawatan ini merupakan penutup kepada rangka kerja diplomasi tiga hari beliau di Indonesia yang memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama serantau, inovasi ekonomi, dan pengembangan agenda halal ASEAN.
“Saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Bapak Presiden atas kesudian beliau menerima kunjungan ini, yang saya anggap sebagai satu penghormatan besar dan manifestasi eratnya hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia.
“Dengan semangat serumpun yang terus kukuh, saya yakin sinergi Malaysia-Indonesia akan terus diperkasa demi membawa manfaat bersama kepada rakyat dan rantau ini. Insya-Allah,” ujar Zahid.