KUALA LUMPUR: Peluang Menteri Pengangkutan, Anthony Loke bertemu Presiden China Xi Jinping sepatutnya diraikan bukan dikecam, kata Ketua UMNO Padang Rengas Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Mohamed Nazri berkata, biarpun pertemuan itu hanya seketika dan di ruang bawah hotel, ia merupakan petanda China menghargai hubungan Malaysia.
Katanya, dalam keadaan kawalan ketat, Presiden China memberi kebenaran kepada Loke untuk bertemu dan memberi cenderahati kepada beliau.
“Semakin maju semakin pelik sikap masyarakat kita, perkara sebegitu dilihat sebagai suatu yang negatif.
“Tidakkah mereka terfikir dalam keadaan kawalan yang sangat ketat, Presiden Xi masih sudi bertemu Loke itu merupakan satu petanda baik.
“Itu petanda hubungan baik antara China dan Malaysia membuatkan Presiden Xi sedia menerima Loke walaupun sekejap dan di basement.
“Kalau dalam keadaan kawalan ketat dan penuh protokol beliau masih sudi jumpa Loke itu tanda dia menghargai Loke yang cemerlang dalam menjalankan tugasnya.
“Tapi kalau kita nak lihat dari sudut negatif, seribu satu salah kita boleh cari dan jadikan isu,” katanya kepada Suara.tv.
Baru-baru ini Loke memberikan plak dengan ukiran naga kepada Xi sebelum beliau berlepas ke Kemboja selepas berada di Malaysia selama tiga hari bermula 15 April hingga 17 April lepas.
Susulan itu, Loke dikritik kerana memberikan cenderahati itu di pintu belakang dan juga ukiran naga dilihat tidak bersesuaian.
Namun beliau tampil memberikan penjelasan menerusi satu hantaran di Facebook rasminya menyatakan cenderahati itu diberikan berhampiran pintu belakang demi keselamatan Presiden China dan ukiran naga adalah simbol kekuatan, kebijaksanaan serta persahabatan dalam budaya Cina.
Loke juga menjelaskan cenderahati ukiran naga itu merupakan pemberian peribadinya bukan mewakili kerajaan.