KUALA LUMPUR – Kerajaan Melaka mengadakan lawatan kerja rasmi ke Shanghai, China bagi mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan beberapa konglomerat dari China dalam bidang teknologi tinggi, petrokimia, penstoran bateri, penebat kaca dan tenaga boleh diperbaharui.
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh memaklumkan, menerusi lawatan kerja rasmi ini beliau turut membantu mempromosikan potensi projek berimpak tinggi Straits of Melaka Waterfront Economic Zone (SMWEZ) yang menjadi katalis pembangunan koridor ekonomi baharu negeri Melaka.
“Selama dua hari ini saya bersama delegasi Kerajaan Negeri Melaka mengadakan lawatan kerja rasmi ke Shanghai, China bagi mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan beberapa konglomerat dari China dalam bidang teknologi tinggi, petrokimia, penstoran bateri, penebat kaca dan tenaga boleh diperbaharui,” kongsi Rauf di Facebooknya pada Selasa.
Turut hadir mengiringi Rauf dalam lawatan ini ialah Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka Datuk Dr Akmal Saleh; Ketua Pegawai Eksekutif MCORP Datuk Mohd Yusof Abu Bakar, dan Pengarah MIDA Negeri Melaka Jaibalan Harirajan.
Ujar Rauf, Kerajaan Melaka optimis lawatan ini dapat memberi impak besar bagi menarik lebih ramai pelabur berpotensi khususnya dari China untuk melabur ke negeri Melaka.
“Ini termasuk berkongsi beberapa inisiatif khususnya dasar “mesra pelabur” yang pentadbiran saya perkenalkan bagi memastikan Melaka terus kekal menjadi destinasi pilihan pelabur,” katanya.