Ratu Rock negara, Ella, kembali ke pentas dengan konsert istimewa sempena ulang tahun ke-30 album lagendanya Ella USA. Bertempat di Arena of Stars, konsert ini bukan sekadar persembahan biasa, tetapi simbol penghargaan terhadap legasi Ella dalam industri muzik tanah air.
Dilancarkan pada tahun 1994, Ella USA menandakan detik revolusioner dalam karier Ella. Album itu bukan sahaja mencipta sejarah sebagai album artis wanita tempatan paling laris, malah menjadi nadi penting dalam memartabatkan muzik rock tempatan ke persada antarabangsa. Dengan kolaborasi hebat bersama pemain gitar tersohor Jepun, Kyoji Yamamoto, album tersebut masih kekal relevan hingga kini.
Menurut Ella, konsert kali ini adalah satu bentuk penghargaan buat semua yang telah menyokongnya sejak awal perjalanan seni. “Konsert ni macam hadiah untuk saya sendiri dan semua peminat. Terutama sekali, untuk mereka yang setia dari dulu sampai sekarang,” katanya dalam satu sesi temubual bersama media.
Ella turut mendedahkan bahawa proses rakaman album Ella USA di Amerika Syarikat penuh dengan cabaran dan kenangan manis. “Nak pergi studio dalam kesejukan, hadap gempa bumi… semua tu pengalaman yang tak boleh dijual beli. Ia membentuk siapa saya hari ini,” kongsinya.
Dengan lebih daripada 10 album dan ribuan tiket persembahan terjual di seluruh Asia, konsert ini menandakan permulaan siri jelajah baru Ella, membawa jenama Ella USA ke pentas-pentas lain selepas Genting. Lokasi pertama dipilih atas kolaborasi eksklusif bersama Resorts World Genting, yang turut menyambut ulang tahun ke-60 mereka.
“Tahun ni sangat bermakna sebab bukan saja ulang tahun ke-30 album saya, tapi juga ulang tahun Genting yang ke-60. Saya rasa ia satu simbolik yang sangat kuat untuk diraikan bersama,” jelas Ella.
Konsert ini bakal menyaksikan Ella membawakan barisan lagu ikonik dari Ella USA serta beberapa lagu kejutan yang dijanjikan. “Peminat boleh jangka banyak kejutan malam tu. Kita akan buat yang terbaik, inshaAllah,” ujar Ella yang terkenal dengan auranya yang kuat di pentas.
Tiket untuk konsert tersebut telah mula dijual sejak 24 Januari 2025, dengan harga bermula serendah RM99. Diskaun 10% turut ditawarkan kepada pemegang Genting Rewards Card bagi pembelian tiket terpilih.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan bekerjasama dengan artis baharu, Ella bersikap terbuka. “Kalau material tu bagus, kenapa tidak? Saya tak kisah siapa nak buat dengan saya, yang penting produk tu bagus dan kita boleh bantu satu sama lain,” katanya.
Dengan semangat yang tidak pernah pudar dan sokongan peminat yang tidak berbelah bahagi, konsert ini dijangka menjadi salah satu momen paling ikonik dalam kerjaya Ella. Seperti kata Ella sendiri, “Apa yang paling penting adalah kesedaran diri, dan untuk terus beri yang terbaik buat semua.”